Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar dakwa didenda guru kerana pakai kasut jenis velcro
Diterbitkan:  Nov 3, 2022 12:07 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Seorang pelajar membuat laporan polis selepas mendakwa didenda kerana tidak memakai kasut bertali di sekolah, dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah sekolah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang kelmarin.

Pelajar berusia 13 tahun itu mendakwa seorang guru mengarahkannya mengangkat kedua-dua tangan sambil melutut di atas jalan tar selepas didapati memakai kasut jenis velcro atau berpelekat.

"Cikgu tersebut telah denda saya dengan menyuruh saya melutut di atas jalan tar sambil mengangkat kedua-dua belah tangan saya di hadapan perhimpunan.

"Saya telah beritahu kepada beliau tidak dapat membeli kasut yang bertali kerana bapa saya masih tidak mempunyai wang," kata pelajar itu dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan menghala ke kelas selepas perhimpunan itu, dia ditahan oleh guru terbabit yang kemudian memotong tali suci berwarna merah yang dipakai di pergelangan tangan kanannya.

"Beliau juga turut menyuruh saya membuang titik hitam (pottu) dan tanda putih (vibuthi) yang diletakkan di tengah dahi saya," ujarnya dalam laporan berkenaan.

Tambah pelajar itu, dia mengalami kemurungan dan bimbang untuk pergi ke sekolah selepas kejadian itu, menyebabkan dia membuat laporan di Balai Polis Tasek Gelugor, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tasek Gelugor, Radzi Ahmad mengesahkan menerima laporan tersebut, lapor Free Malaysia Today.

Malaysiakini telah cuba menghubungi pihak sekolah berkenaan untuk mendapatkan maklum balas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS