Bekas hakim besar Malaya Azahar Mohamed dan hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh memulakan fasa baru dalam kerjaya undang-undang mereka… sebagai peguam.
Kedua-dua hakim tertinggi negara yang baru bersara itu diterima masuk ke Badan Peguam menerusi upacara ‘long call' di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dipengerusikan oleh Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Semasa majlis yang dihadiri ahli keluarga yang berada di galeri awam itu, Wan Farid berkata majlis hari ini adalah istimewa kerana lazimnya, ia membabitkan peguam-peguam muda.
“Biasanya, saya akan memberi nasihat kepada mereka yang diterima masuk ke Badan Peguam. Namun hari ini, saya berdepan kesukaran untuk berbuat demikian.
“Bagaimana hendak saya beri nasihat (kepada pesara hakim) yang jauh lebih bijak dan lebih berpengalaman daripada saya? Bagaimanakah untuk memberi nasihat kepada mereka yang kita anggap sebagai mentor kita?
"Jika mereka adalah kereta, mereka adalah kereta klasik. Kita tidak berlumba dengan kereta klasik. Kita akan minta pemandu memperlahankan kenderaan, kita keluarkan kamera atau telefon pintar dan mula merakam banyak gambar,” katanya,
Menurut Wan Farid, kedua-dua mereka adalah nama besar dalam badan kehakiman dan lambang kebijaksanaan dan dia akan memandang mereka dengan kagum.
Apabila hakim itu menyoal Peguam Negara Idrus Harun dan Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah jika mereka mempunyai sebarang bantahan terhadap petisyen penerimaan masuk itu, kedua-duanya menjawab mereka tiada bantahan kerana kertas petisyen adalah teratur.
Wan Farid kemudian membenarkan kedua-dua petisyen hakim tertinggi negara yang telah bersara itu diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya.
Dalam upacara itu, anak lelaki Azahar, Azmi bertindak sebagai peguam pengusul, manakala bekas presiden Majli Peguam, Salim Bashir mewakili Zawawi.
Azahar, 66 yang bersara wajib pada 26 Oktober lalu, dilantik sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Zaharah Ibrahim pada 8 Ogos 2019, iaitu jawatan kehakiman ketiga tertinggi selepas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Zawawi, 66, pula bersara pada Jun lalu dan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 27 April 2018.
Pada April tahun lalu, Zawawi dilantik sebagai pemangku Hakim Besar Malaya selepas Azahar dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh kerana dijangkiti Covid-19.
Antara penghakiman mereka, termasuk menolak permohonan bekas komando polis Azilah Hadri untuk menyemak sabitan dan hukuman mati dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Kedua-dua mereka juga adalah anggota panel lima hakim mahkamah tertinggi, yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya berhubung kes rasuah SRC International membabitkan penyelewengan dana RM42 juta.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu yang menolak rayuannya dalam kes itu.
