Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahidan, Zahidi, Ismail gugur keahlian Umno - Ahmad Maslan

Empat ahli UMNO yang bertanding mewakili parti lain dan Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah gugur keahlian mereka, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Mereka adalah Shahidan Kassim yang bertanding di Parlimen Arau dan Ismail Abd Muttalib bertanding di Parlimen Maran, dengan masing-masing mewakili Perikatan Nasional (PN) seperti diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari penamaan calon, Sabtu lepas.

Dua lagi ahli yang bertanding atas tiket Bebas adalah Zahidi Zainul Abidin dan Azhar Ahmad, masing-masing bertanding di Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.

“Pengguguran keahlian keempat-empat mereka ini adalah selaras dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO yang dengan jelas menyebut ‘seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri akan gugur keahlian dengan sendirinya’.

“Dengan pengguguran keahlian ini, jawatan mereka di peringkat UMNO Bahagian akan dipangku oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum pengguguran itu, Shahidan merupakan Ketua UMNO Bahagian Arau manakala Zahidi adalah Ketua UMNO Bahagian Padang Besar.

Ahmad berkata bagi beberapa ahli lain termasuk mereka yang dilihat mengiringi keempat-empat calon berkenaan semasa proses penamaan calon yang boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan, kini dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.

Sebelum ini, beberapa nama besar pemimpin UMNO termasuk keempat-empat ahli tersebut tidak disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

SPR menetapkan hari pengundian pada 19 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS