Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal LCS beri kesan meluas di Lumut - Hatta Ramli

PRU15 l Skandal pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion, yang sepatutnya dimiliki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberi kesan yang amat meluas di kerusi parlimen Lumut, kata penyandangnya, Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Dia berkata, Lumut yang diisytihar sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim mempunyai ramai pengundi yang terkesan dengan penyelewengan itu.

"Mungkin bagi rakyat Malaysia projek LCS ini adalah satu lagi skandal melibatkan pemimpin BN. Tapi, bagi penduduk Lumut ia melibatkan punca pendapatan mereka. Ramai warga Lumut yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan projek ini kini hilang punca pendapatan.

"Ramai pembekal yang terdiri daripada veteran TLDM yang membantu kontraktor utama. Ramai juga pekerja yang diambil pembekal-pembekal ini terdiri daripada veteran TLDM.

“Akibat skandal ini tidak diselesaikan oleh kerajaan hari ini, ekonomi mereka terjejas,” katanya kepada Malaysiakini, di Lumut, hari ini.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah kementerian pertahanan, dengan kos keseluruhan sebanyak RM9 bilion. Kontrak bagi projek itu bermula pada 2013 dan dijadualkan siap dalam masa 10 tahun.

PAC dalam laporannya pada Ogos lalu mendedahkan bahawa kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada sebuah syarikat yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.

Dr Hatta berkata suasana ekonomi di Lumut terkesan susulan ekonomi perniagaan yang berkaitan dengan pembinaan kapal itu yang tidak berjalan dan beberapa industri seperti petrol dan gas yang belum dimulakan serta isu pekerja asing yang dibawa masuk.

Menurutnya, ramai veteran TLDM yang terlibat dengan projek ini kini tiada mata pencarian terpaksa beralih ke kerja-kerja lain.

"Pembekal-pembekal ini masih tidak dibayar walaupun RM6 bilion telah dibelanjakan untuk pembinaan kapal.

“Ada syarikat yang sebelum ini mengambil beratus orang kini tinggal 15 atau 20 orang sahaja, tidak dapat mengekalkan pekerja kerana tidak dibayar,” katanya.

Menurutnya, ketika dia menjadi ahli PAC dia bersetuju dengan cadangan hutang pembekal perlu dibayar secepat mungkin.

"Sebahagian peruntukan telah dibayar untuk melunaskan hutang-hutang syarikat yang lama berkaitan dengan kontraktor utama yang tidak ada kaitan dengan projek LCS.

"Sama ada itu mengikuti peraturan kewangan kerajaan kita tidak tahu,” katanya.

Namun, dia menjelaskan bahawa Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh Ambrin Buang menyatakan itu adalah satu kelakuan yang tidak wajar.

"Jadi kesannya penduduk di sini, belum ada tentangan daripada warga Lumut. Kebanyakan rakyat di sini adalah kakitangan kerajaan.

"Saya telah menyatakan di dalam sidang PAC di hadapan Panglima Tentera Laut (PTL) dan mereka pun sama-sama minta kerajaan supaya segera membuat keputusan dan keputusan kerajaan untuk meneruskan pembinaan kapal ini. Kami diberitahu pembinaan mungkin akan disambung semula pada Jan tahun depan," katanya.

Hatta Ramli menang kerusi parlimen Lumut pada PRU14 dengan majoriti tipis 400 undi mengalahkan Zambry Abdul Kadir dari BN dalam saingan tiga penjuru.

Mereka akan sekali lagi bertembung buat kali kedua pada PRU15 ini yang menyaksikan persaingan lima penjuru melibatkan calon PN, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail, Mohd Isnin Ismail dari Warisan dan Mazlan Abd Ghani dari Pejuang.

Sebanyak 92,972 pengundi layak mengundi di kerusi parlimen itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS