Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tender RM2b: Tuan Ibrahim gesa Rafizi buat laporan SPRM
Diterbitkan:  Nov 8, 2022 1:23 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

Tuan Ibrahim Tuan Man meminta Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika dia mempunyai bukti mengenai tender yang didakwa diberikan secara tidak wajar oleh kerajaan sementara.

Kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air itu dibuat selepas Rafizi mendakwa ada syarikat yang dikatakan kroni Umno dijangka menerima kontrak tebatan banjir bernilai RM2 bilion melalui tender rundingan terus daripada kementerian Tuan Ibrahim.

Menurut Tuan Ibrahim, Rafizi selalu "berselindung di sebalik kata" semasa membuat dakwaan kerana tahu ia tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Tapi saya nak tegaskan bahawa fitnah ini tak betul... sebab itu saya minta supaya kalau ada kes, ada bukti, reportlah. Jangan buat fitnah musim ini," katanya semasa berceramah di Lipis malam tadi, dan dipetik harakahdaily hari ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Rafizi menuduh kerajaan sementara cuba menganugerahkan pemberian kontrak bernilai berbilion ringgit untuk syarikat kroni.

Dia mendakwa satu projek di Melaka - bernilai RM578.6 juta - telah pun dianugerahkan melalui tender rundingan terus kepada sebuah syarikat yang didakwa kroni Umno.

Anugerah itu didakwa diumumkan oleh perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob pada 14 Okt, iaitu empat hari selepas parlimen dibubarkan.

Rafizi turut mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air juga dalam proses pemberian kontrak RM2 bilion melalui tender terus kepada syarikat yang sama untuk kerja-kerja tebatan banjir di Sungai Langat 2.

Berkenaan projek di Melaka, Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata ia sudah melalui proses tender dan tiada isu bercanggah dengan prosedur fiskal kerajaan.

Dia juga menegaskan tidak menghadiri majlis pengumuman projek di Melaka berkenaan.

Sebagai menteri, tambah Tuan Ibrahim, dia tidak campur tangan atau mengambil bahagian dalam jawatankuasa tender kementerian yang menurutnya diberi kuasa untuk membuat keputusan mengikut prosedur sedia ada.

Kata calon PN untuk kerusi parlimen Kubang Kerian itu lagi, dia tahu bahawa kerajaan sementara tidak sepatutnya memasuki sebarang kontrak baru yang akan membebankan kerajaan seterusnya.

Pada 18 Okt lalu pekeliling daripada Perbendaharaan menasihatkan kerajaan sementara untuk mengelak daripada menyertai sebarang kontrak baharu.

Bagaimanapun pekeliling yang sama menyatakan kerajaan boleh meneruskan dasar dan projek pembangunan sedia ada atau menandatangani kontrak dalam perkara membabitkan peruntukan kewangan telah diluluskan oleh parlimen dan kerajaan sebelum ia memasuki mod kerajaan sementara.

Berhubung projek RM2 bilion yang didakwa Rafizi, Tuan Ibrahim menegaskan dia tidak meluluskan sebarang projek selepas parlimen dibubarkan.

"Dan saya ingin menegaskan bahawa tiada siapa yang datang menemui saya meminta meluluskan RM2 bilion," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi syarikat yang terlibat dalam projek tebatan banjir untuk maklum balas terhadap dakwaan Rafizi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS