"Gangguan teknikal" menyebabkan beberapa stesen tren di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya ditutup, dengan penumpang dinasihatkan untuk mengambil perkhidmatan bas ulang-alik percuma yang disediakan.
Menurut pengumuman rasmi oleh Rapid KL di media sosialnya, stesen antara Kelana Jaya dan Ampang Park ditutup.
Ini menjejaskan 16 daripada 37 stesen laluan itu, terutamanya di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.
Perkara itu mula diumumkan pada jam 3.32 petang. Pada masa itu, ia berkata gangguan teknikal menyebabkan tren antara stesen KLCC dan stesen Kelana Jaya berhenti lebih lama.
Kira-kira 20 minit kemudian, bagaimanapun, ia mengumumkan penutupan sepenuhnya 16 stesen tersebut. Punca penutupan terkini masih belum didedahkan.
Penutupan itu berlaku pada waktu kemuncak dan hujan lebat di Lembah Klang.
RapidKL sedang mengubah hala penumpang ke dua laluan perkhidmatan bas ulang-alik – satu antara stesen Lembah Subang dan Pasar Seni, dan satu lagi antara stesen LRT Masjid Jamek dan Damai.
Perkhidmatan laluan Kelana Jaya antara stesen Putra Height dan Lembah Subang, dan antara stesen LRT Damai dan Gombak, masih beroperasi.
Gangguan terbaru berlaku berikutan beberapa siri masalah pada hujung minggu lalu, yang memerlukan tren di sepanjang laluan Kelana Jaya dipandu secara manual dan berhenti lebih lama.
Dalam satu kenyataan awal hari ini, RapidKL berkata isu sebelum ini berpunca daripada sistem kawalan kereta api automatik (ATC) yang tidak stabil yang bermula pada pagi Sabtu.
Masalah itu telah diselesaikan pada pagi Ahad, tetapi mula berulang pada pagi Isnin.
Ini menyebabkan laluan Kelana Jaya ditutup awal malam semalam pada 11.15 malam, dengan beberapa stesen ditutup lebih awal pada 10.15 malam.
“Setelah berakhirnya waktu operasi, pasukan jurutera dan teknikal, dibantu oleh pihak Thales Group di Canada selaku pengilang peralatan asal (OEM) telah menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar gangguan tersebut.
Setakat jam 5.30 pagi ini, pihak jurutera telah dapat menstabilkan sistem ATC itu dan perkhidmatan tren telah dimulakan. Namun, sebagai langkah keselamatan, sistem tersebut masih berada di dalam pemantauan bagi memastikan kestabilan berterusan,” katanya.
