Kemungkinan berlaku masalah semasa ekoran kedatangan monsun timur laut bukanlah alasan wajar untuk kerajaan sementara menyegerakan pengagihan Bantuan Keluaga Malaysia (BKM) fasa keempat.
Menurut Bersih, langkah perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mencepatkan bayaran BKM itu adalah suatu bentuk pengaruh buat pengundi.
Pertubuhan pendesak reformasi pilihan raya itu berkata langkah tersebut melanggar konvensyen amalan bagi sesebuah kerajaan sementara seperti dilakukan di negara lain.
"Walaupun tidak dinafikan rakyat dijangka menghadapi monsun timur laut dan memerlukan bantuan sekiranya terjadi hujan lebat dan banjir, pengumuman tersebut boleh dianggap sebagai menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen untuk perdana menteri sementara atau parti/gabungan politik yang diwakilinya.
"Konvensyen amalan kerajaan sementara adalah memisahkan antara parti politik dan kerajaan, dan kerajaan perlu mengambil langkah-langkah wajar bagi memastikan pemisahan tersebut berlaku agar kempen pilihan raya yang bersih, bebas dan adil terjamin," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Ismail Sabri mengumumkan BKM fasa keempat itu - yang bernilai RM2.1 bilion - akan mula dikreditkan ke akaun penerima secara berperingkat mulai 15 Nov ini.
Kata calon BN untuk kerusi parlimen Bera itu, BKM berkenaan asalnya dijadualkan dibuat pada Dis namun dipercepatkan ke minggu depan bagi membantu penerimanya membuat persediaan menghadapi monsun timur laut.
Mengikut pengumuman itu, bayaran BKM berkenaan akan selesai diagihkan sehari sebelum tarikh mengundi yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu 19 Nov.
Menurut Bersih ada cara lain untuk kerajaan sementara menyalurkan bantuan berkenaan agar tidak mempengaruhi orang ramai menjelang PRU ini.
"Perdana menteri sementara sebenarnya boleh berunding dengan pembangkang bagi menerangkan keperluan penyaluran peruntukan tersebut.
"Proses tersebut lebih telus dan inklusif serta benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat, bukannya untuk memberi kelebihan kepada parti yang memerintah sebelum ini.
"Amalan ini sudahpun dipraktikkan di negara komanwel seperti Australia," katanya.
Bersih turut menggesa kerajaan sementara - sama ada di peringkat persekutuan atau negeri - agar tidak menyalahgunakan sumber negara bagi berkempen demi kepentingan sendiri.
"Hal yang sedemikian memang melanggar prinsip-prinsip dan etika pilihan raya yang bebas, bersih dan adil," kata Bersih.
