Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu parkir PPR fokus utama 3 calon Bandar Tun Razak

PRU15 | Menangani isu ruang tempat letak kereta terhad di setiap projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam antara fokus utama ketiga-tiga calon merebut kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, yang juga antara ‘kerusi panas’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Rungutan penghuni mengenai masalah ketiadaan parkir kereta telah berlarutan sejak sekian lama namun tiada penyelesaian, malah semakin serius dengan pertambahan kereta penghuni tetapi jumlah petak parkir masih sama.

Ada penghuni terpaksa meletakkan kereta di bahu jalan, yang sepatutnya menjadi dua hala sudahnya menjadi satu hala. Tidak hairanlah pemandangan parkir bertindih sebagai biasa di PPR.

Menyedari masalah itu, calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tidak dinafikan perumahan PPR di kawasan itu begitu padat penduduknya dan ditambah pula dengan kawasan lapang agak terhad, sudah tentulah isu parkir menjadi masalah utama.

"Ini perkara yang perlu kita fikir dan tangani. Kita tidak boleh salahkan penghuni (kerana pertambahan kereta) mungkin milik ahli keluarga semakin membesar. Malah pengangkutan awam belum cukup efisien perkhidmatannya menyumbang jumlah kenderaan yang meningkat di sini," katanya ketika ditemui Bernama semasa berkempen di kawasan Bandar Tun Razak semalam.

Justeru, sekiranya menang, bekas Timbalan Perdana Menteri itu cuba memikirkan bentuk penyelesaian masalah ketiadaan parkir sama ada menjadikan tanah kosong sesuai untuk dijadikan tempat meletak kereta ataupun solusi membina ruang parkir bertingkat dipercayai kelak akan membebankan penghuni PPR yang rata-ratanya adalah golongan berpendapatan rendah B40.

Di kawasan Bandar Tun Razak itu, perumahan pencakar langit mendominasi antaranya perumahan PPR Flat Sri Labuan, Flat Sri Melaka, Flat Sri Kota, Flat Taman Mulia termasuk juga apartmen-apartmen mewah dan kediaman awam.

Dr Wan Azizah berkata sepanjang kempen memasuki hari ketujuh bertemu pengundi, selain isu ruang meletak kereta yang terhad di setiap perumahan PPR, aduan berkaitan masalah sosioekonomi, tekanan hidup, sampah, kebajikan penduduk tidak dipeduli dan isu setempat tidak diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa tempatan sering diluahkan.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata disebabkan bertanding di kawasan baharu, beliau akan bertemu seramai mungkin pengundi untuk mengetahui masalah mereka.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi Parlimen berkenaan Datuk Kamarudin Jaffar ketika ditemui memberitahu isu ruang parkir terhad di setiap perumahan PPR dan masalah sosioekonomi dan kehidupan golongan B40 di Parlimen itu antara perkara sering diutarakan pengundi ketika bertemunya.

Timbalan Menteri Luar itu berkata solusi bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) telah beberapa kali dilakukan bagi mengatasi masalah yang sering dihadapi kebanyakan penghuni flat seperti lif rosak dan tempat letak kereta terhad.

Turut senada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Chew Yin Keen selaku Ketua MCA Bandar Tun Razak berkata isu berkenaan bukan hanya berlaku di kawasan itu, malah di banyak kediaman bertingkat lain khususnya PPR di sekitar ibu kota.

- Bernama

Lihat Komen
ADS