Pekan Sungai Lembing terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Kuantan tidak pernah terlepas daripada tumpuan pelancong sejak puluhan tahun lalu.
Bahkan Sungai Lembing turut mendapat perhatian lebih 100 tahun lalu kerana memiliki timbunan stok bijih timah yang bernilai tinggi ketika itu.
Jenama pekan itu bagaimanapun malap selepas tahun 1986, ketika harga bijih timah jatuh mendadak dan menyaksikan aktiviti melombong tidak lagi diteruskan.
Namun usaha menjadikan pekan lama itu sebagai salah satu pekan warisan dan mendapat pengiktirafan Unesco masih belum berhasil.
Untuk pilihan raya umum kali ini, kesunyian pekan yang pernah digelar ‘El Derado Timur’ itu sedikit ‘terganggu’ dan komuniti di situ menerima kunjungan pelbagai jenis orang- sama ada pekerja parti dan pelancong politik.
Pertembungan empat penjuru di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Sungai Lembing juga menarik, kerana menyaksikan semua parti bertanding menampilkan calon muka baru.
Di pihak Barisan Nasional (BN) mereka mencalonkan Umor Arbain Dollah, Perikatan Nasional (PN) menawarkan Mohamad Ayub Asri, Pakatan Harapan (PH) pula mempertaruhkan Ahmad Omar dan Pejuang tidak ketinggalan turut meletakkan calon mereka, Anuar Tajuddin.
Secara umumnya semua calon mempunyai peluang seimbang dan perlu bermula dari bawah kerana masing-masing kali pertama bertanding.
Jika melihat kepada isu lapuk di pekan Sungai Lembing pula, sudah tentu masalah banjir adalah paling menjadi tumpuan.
Boleh dikatakan setiap kali musim tengkujuh, penanda aras untuk banjir di bandar raya Kuantan adalah situasi banjir di pekan Sungai Lembing itu.
Umor Arbain ketika ditemui mengakui masalah banjir menjadi agenda utama untuk diselesaikan jika dipilih sebagai ahli dewan undangan negeri (ADUN) kawasan terbabit.
“Isu banjir di pekan ini bukan benda baru dan sudah berlarutan sekian lama, jadi perlu ada tindakan dan pendekatan lebih berkesan untuk mengatasinya.
“Sebelum ini kita sudah memperoleh peruntukan bagi membuat (projek) tebatan banjir dan melalui (penyandang) ahli parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, usaha untuk melaksanakan projek berkenaan sudah dimulakan.
“Jadi, kalau kami berdua dipilih selepas ini (PRU15), sudah tentu projek tebatan itu boleh dipercepatkan,” katanya.
Mohd Shahar adalah Timbalan Menteri Kewangan II sebelum parlimen dibubarkan awal bulan Oktober lalu.
Selain isu banjir, pekan Sungai Lembing juga masih ketinggalan dari segi kemudahan dan infrastruktur yang boleh menarik kedatangan pelancong ke situ, kata Umor Arbain lagi.
"Benda ini juga perlu dipertingkatkan, diberi perhatian sebab kita ada potensi, kita ada Bukit Panorama, Air Terjun Pelangi, Gunung Tapis dan banyak lagi, tapi kemudahan asasnya masih kurang,” katanya.
Ketika ditanya mengenai isu membabitkan peneroka Felda dan generasi kedua tanah rancangan dalam kawasan DUN Sungai Lembing, dia memaklumkan peluang pekerjaan perlu dipertingkatkan selain menyediakan pusat sehenti menawarkan latihan kemahiran kepada kumpulan itu.
Terdapat tiga tanah rancangan berada dalam kawasan DUN Sungai Lembing, Felda Bukit Kuantan, Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Sagu.
Jumlah pengundi berdaftar dalam kawasan DUN Sungai Lembing pula seramai 19,130 orang.
Dalam pilihan raya umum lalu, kerusi itu dimenangi calon BN, Md Sohaimi Mohamed Shah dengan majoriti 1,968 undi.
Umor Arbain turut berkongsi hasratnya untuk meneruskan usaha bekas ahli parlimen Paya Besar, Abdul Manan Ismail bagi menyediakan laluan pintas antara pekan Sungai Lembing dan Felda Lepar Utara, Jerantut.
“Jarak laluan itu kira-kira 40 kilometer, dulu arwah (Abdul Manan) berkali-kali menyuarakan di parlimen dan di peringkat negeri supaya menyegerakan jalan berkenaan, namun sehingga dia meninggal dunia, impiannya tidak menjadi kenyataan.
“Jadi saya rasa ini perlu diteruskan, diberi keutamaan juga selepas ini,” katanya.
Abdul Manan dipilih sebagai ahli parlimen Paya Besar selepas pilihan raya umum tahun 2008.
Dia meninggal dunia pada 12 Februari 2018 di ibu negara akibat serangan jantung.
