Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azli nafi duduk dalam lembaga pengarah DBKL untuk dapat kontrak
Diterbitkan:  Nov 14, 2022 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

PRU15 | Calon PH Shah Alam, Azli Yusof menyangkal tuduhan bahawa dia menganggotai lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya boleh mempengaruhi keputusan yang dibuat lembaga tender DBKL untuk kepentingan peribadi.

Dakwaan tersebut dibuat Ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii, dalam ceramah ketika berkempen untuk calon BN Shah Alam, Isham Jalil malam tadi.

"Kami hanya berkhidmat sebagai ahli lembaga penasihat dan tidak terlibat atau campur tangan dalam operasi," kata Azli ketika dihubungi Malaysiakini.

Azli ketika itu merupakan setiausaha politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dan ahli majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Saya tidak mempunyai proksi. Dan tiada Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam dari PH atau mana-mana ahli majlis perbandaran lain di Selangor duduk di mana-mana lembaga tender.

"Ahli lembaga penasihat dari PH dilantik berdasarkan merit, kelayakan dan pengalaman kami dan kami terdiri daripada aktivis politik, profesional dan ahli dari kalangan NGO yang berkelayakan," kata Azli, yang memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan kepada Malaysiakini.

Azli yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya berkata peranannya dalam DBKL terhenti apabila kerajaan PH tumbang pada Februari 2020.

Semalam, Razlan dalam satu majlis ceramah di Shah Alam berkata Azli dilantik dalam lembaga penasihat DBKL untuk melayakkan dirinya sebagai ahli lembaga tender DBKL.

Kata Razlan, sekiranya tuduhan itu tidak betul, dia bersedia untuk disaman.

Turut hadir dalam ceramah itu ialah bekas naib canselor UiTM, Ibrahim Shah Abu Shah dan ahli majlis tertinggi Umno Arman Azha Abu Hanifah.

Anak didik penyandang vs pegawai khas Najib

Shah Alam merupakan kawasan bandar dengan lebih 100,000 pengundi.

Pada 2018, terdapat 76 peratus pengundi Melayu, 11 peratus Cina, 13 peratus India dan satu peratus kaum-kaum lain di parlimen berkenaan.

Kali ini, kedua-dua calon PH dan BN merupakan calon kali pertama yang bertanding dalam pilihan raya.

Azli, 55 merupakan anak didik kepada penyandang ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

BN tewas selama tiga penggal di Shah Alam apabila kerusi itu dimenangi Khalid ketika dia berada dalam PAS pada 2008 dan 2014, dan sekali lagi pada 2018 ketika dia menjadi pemimpin Amanah.

Pada 2018, Khalid memperoleh 52 peratus undi, manakala calon BN dan PAS masing-masing mendapat 21 peratus dan 14 peratus undi.

Bagaimanapun Isham, yang merupakan kelulusan universiti Harvard dan pegawai khas kepada bekas perdana menteri, Najib Abdul dari 2016 hingga 2018, percaya dia mempunyai peluang untuk menang di kerusi itu.

Isham sebelum ini berkata pengundi memberitahunya Khalid jarang dilihat turun padang.

Kedua-dua calon itu turut berdepan Dr Afif Bahardin dari PN dan Muhammad Rafique Rashid Ali dari Gerakan Tanah Air.

Afif, adalah bekas timbalan ketua pemuda PKR, yang keluar parti itu untuk menyertai Bersatu, manakala Muhammad Rafique adalah muka baru dalam politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS