Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa sekiranya BN membentuk kerajaan pada 19 November ini, istilah kerajaan 'pintu belakang' tidak akan berulang.
Berucap di hadapan lebih 500 pengundi masyarakat India di Bagan Datuk, calon BN bagi kerusi parlimen itu berkata bahawa dia percaya gabungan BN akan mampu menubuhkan kerajaan dengan mandat rakyat.
"Bila kerajaan BN telah jadi kerajaan sepenuhnya, kita tidak mahu kerajaan tebuk atap, kita tidak mahu kerjaaan pintu belakang, kita tidak mahu kerajaan masuk tingkap.

"Kita mahu kerajaan yang disokong seluruh rakyat Malaysia. Oleh itu, di Bagan Datuk segalanya akan bermula,” katanya pada majlis RumahTerbuka Deepavali, di Bagan Datuk, malam tadi.
Zahid juga berkata bahawa dia mempercayai bahawa kemenangan BN akan bermula dari Bagan Datuk.
Istilah 'kerajaan pintu belakang' sering digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) ketika mengkritik kerajaan hari ini setelah gabungan PN dan BN bersama-sama menubuhkan kerajaan baru menerusi Langkah Sheraton walaupun mereka tewas pada PRU14 lalu.

Langkah Sheraton tercetus pada Feb 2020 apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali bersama-sama 10 ahli parlimen parti itu berpaling tadah dan menikam PH.
Kerusi Parlimen Bagan Datuk kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Selain Zahid, Shamsul Iskandar Md Akin dari Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) meletakkan Nik Muhammad Faiz Na'aman yang juga adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Seorang lagi pencabar ialah pengasas bersama Gerak Independent (GI) Tawfik Ismail - yang merupakan anak sulung timbalan perdana menteri kedua negara Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov (hari ini).
