Seorang saksi perbicaraan kes ahli
perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusof yang dituduh menyebabkan kecederaan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad dan tiga yang lain Julai lalu memberitahu mahkamah, beliau nampak tertuduh menyembur bahan seperti asap dari tin kecil ke dalam kenderaan yang dinaiki bekas perdana menteri itu.
Wan Mohd Hafiz Wan Awang, 26, yang merupakan saksi kedua pendakwaan berkata, beliau berada berhampiran Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Datuk Ibrahim Ali ketika kejadian pada pagi 28 Julai tahun lalu di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.
Beliau berkata ketika Dr Mahathir berjalan menuju ke kenderaan itu, tertuduh berdiri di sisi sebelah kiri beliau, juga berhampiran dengan kenderaan berkenaan.
"Dalam keadaan orang ramai berasak-asak dan tarik-menarik itu, ada sekumpulan orang berbadan besar dan berjaket hitam menghalang Tun (Dr Mahathir) daripada masuk ke dalam Pajero itu. Saya nampak ada orang sembur gas pemedih mata ke dalam kenderaan berkenaan," katanya.
Menurut laporan Bernama, ketika diminta memberitahu mahkamah siapa yang bertanggungjawab menyembur gas pemedih mata itu, beliau berkata "Datuk Nik Sapeia yang sembur" dan mengenalpasti tertuduh yang duduk di dalam kandang tertuduh di Mahkamah Majistret di Kota Bharu hari ini.
Empat tuduhan pilihan
Nik Sapeia, 53, dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Datuk Ibrahim Ali, 55; Mohd Nasir Muda, 45; Suberi Sahidan, 47, dan Dr Mahathir, 82.
Nik Sapeia juga diberi empat pertuduhan pilihan iaitu pertama melakukan kesalahan tersebut ke atas Ibrahim, kedua ke atas Mohd Nasir, ketiga ke atas Suberi manakala keempat ke atas Dr Mahathir.
Berdasarkan kesemua kertas pertuduhan itu, dia dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menyembur bahan berbahaya menggunakan alat penyembur, iaitu bahan yang bahaya kepada tubuh badan apabila dihidu.
Dakwaan terhadap Nik Sapeia dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran, Wan Mohd Hafiz yang juga anak saudara kepada Ibrahim berkata semburan itu hanya berlaku sekejap dan mengakui tidak tahu apa sebenarnya bahan yang terkandung di dalam semburan berkenaan.
'Tepis tangan'
Ketika diminta memberitahu mahkamah bagaimana beliau boleh mengenalpasti Nik Sapeia sebagai orang yang bertanggungjwab menyembur pemedih mata itu, Wan Mohd Hafiz berkata:" Dia (Nik Sapiea) berada di sisi kiri saya, saya nampak tangan kanan seseorang menyembur sesuatu daripada tin kecil ke arah kenderaan yang dinaiki Tun (Dr Mahathir), saya pegang tangan orang itu. Bila tengok tuannya, ia adalah tangan Datuk Nik Sapeia".
Katanya beliau kemudiannya menepis tangan tertuduh dengan tangan kirinya sambil berkata 'Apa sembur-sembur ni,'.
Wan Mohd Hafiz yang merupakan Anggota Majlis MTRK berkata, tertuduh ada menjawab sesuatu kepada beliau namun tidak dapat memastikan apa yang dikatakan kerana mulai merasa pedih pada mata dan hidung.
Katanya, beliau tidak dapat memastikan apa yang dibuat atau ke mana tertuduh pergi selepas itu.
Jelasnya, beliau mengenali Nik Sapeia sebagai seorang yang berpangkat 'Datuk' dan seorang ahli perniagaan, namun mengakui tidak kenal secara peribadi dengan tertuduh.
Perbicaraan ditangguh
Majistret Azman Mustapha bagaimanapun terpaksa menangguhkan perbicaraan sehingga pagi esok sebelum peguam bela tertuduh Zainal Abidin Mustapha sempat selesai menyoal balas saksi berkenaan petang ini.
Sebelum itu, mahkamah memanggil Ibrahim yang juga mangsa dan pengadu kes berkenaan sebagai saksi pertama untuk memberi keterangan perbicaraan kes yang melibatkan kira-kira 47 saksi itu.
Ibrahim berkata beliau berada di lapangan terbangan berkenaan untuk menyambut ketibaan Dr Mahathir yang bersetuju untuk datang ke majlis makan malam anjuran MTRK pada sebelah malam hari berkenaan.
Katanya, selain beliau dan Nik Sapeia, beberapa orang lagi menyambut bekas perdana menteri itu di tangga pesawat iaitu Tan Sri Abdullah Ahmad yang merupakan penganjur satu majlis lain pada sebelah petang serta Tan Sri Muhammad Yaacob yang merupakan bekas Menteri Besar Kelantan.
"Saya diberitahu, jika bekas perdana menteri itu mahu bercakap, dia akan naik kenderaan Pajero yang mempunyai 'sunroof' yang diletakkan di hadapan pintu utama terminal lapangan terbang itu.
"Saya tidak kisah walaupun saya telah menyediakan kenderaan lain untuk Tun (Dr Mahathir). Sepanjang berjalan ke kenderaan itu dari bilik VIP lapangan terbang, saya berada di sebelah Tun," katanya.
'Lagi saksi nampak"
Ibrahim berkata, ketika berjalan menuju ke kenderaan Pajero, beliau beberapa kali ditolak dan ditepis kumpulan lelaki berbadan besar dan memakai jaket yang tidak dikenali.
"Walaupun saya dan Tun dihalang dan ditolak daripada menaiki kenderaan berkenaan, Tun dapat juga masuk ke dalamnya. Tun ambil pembesar suara dan berdiri (untuk bercakap kepada orang ramai). Pada masa itu separuh badan saya dah masuk ke dalam kenderaan itu, tiba-tiba terasa sesak nafas dan sakit mata.
"Mula-mula saya ingat saya diserang sakit jantung kerana saya pernah buat pembedahan angioplasty sebelum ini, saya tekan dada, tiba-tiba juga saya tengok pembesar suara yang dipegang Tun terlepas dan beliau duduk sambil berkata, pedih mata dan sakit, sakit beberapa kali," katanya.
Ibrahim berkata, beliau menjerit supaya Dr Mahathir dibawa keluar dari kenderaan itu dan pada masa yang sama ternampak bekas perdana menteri itu ditarik sekumpulan lelaki yang tidak dikenalinya dari kenderaan berkenaan.
"Saya juga ditarik oleh kumpulan beberapa orang di situ dan turut terdengar suara orang ramai berkata pedih-pedih. Saya dibawa masuk dalam dalam bangunan dan diletak atas kerusi. Ada orang datang renjis air ke muka, dan dalam 20 minit kemudian baru pergi ke Balai Polis Pengkalan Chepa untuk buat laporan polis mengenai kejadian," katanya.
Terdahulu, sebelum prosiding bermula, Zainal Abidin memberitahu mahkamah pihaknya telah memfailkan di Mahkamah Tinggi permohonan semakan semula keputusan mahkamah majistret semalam yang menolak bantahan awal anak guamnya untuk membebaskannya daripada pertuduhan yang dihadapinya.
Tetapi, katanya, beliau dimaklumkan Mahkamah Tinggi tidak bercadang untuk menggunakan kuasa yang ada untuk menyemak semula permohonan itu.
