Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak mungkin BN gabung dengan PH - Ismail Sabri
Diterbitkan:  Nov 15, 2022 2:31 PM
Dikemaskini: 3:56 PM

Perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob berkata tidak mungkin BN akan bergabung dengan PH bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum.

Katanya, keputusan telah dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno dan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno bahawa prinsip 'No Anwar, No DAP’ kekal.

Bagaimanapun katanya, jika keputusan itu mahu disemak semula, ia perlu dibawa semula kepada MT Umno dan mesyuarat agung luar biasa parti itu.

"Bagi saya tak mungkin berlaku (bergabung dengan PH) sebab dalam PAU, di dalam MT keputusan telah dibuat - no Anwar, no DAP. No PKR no DAP.

"Keputusan tersebut adalah keputuan autoriti tertinggi.

"Kalau nak reverse keputusan tersebut, bawalah balik ke MT dan mesyuarat agung luar biasa untuk memutuskan sebaliknya.

"Selagi tiada keputusan seperti itu, maka keputusan no Anwar, no DAP itu akan terus kekal.

Ismail yang juga naib presiden Umno berkata tiada sesiapa dalam parti itu, termasuk pimpinan tertingginya boleh mengubah keputusan bersama yang dibuat sebelum ini.

“Saya percaya tidak ada siapa pun dalam kalangan Umno, kepimpinan tertinggi mana sekalipun yang boleh mengubah keputusan MT dan PAU dengan secara bersendirian.

“Ia mesti diputuskan oleh parti," katanya dalam program bual bicara khas yang disiarkan secara langsung malam ini.

Program berkenaan disiarkan TV3, RTM, BernamaTV dan Astro Awani pada 9.35 malam ini.

‘BN mesti dominan jika bentu kerajaan campuran’

Ketika ditanya kekuatan BN untuk membentuk kerajaan yang stabil dengan gabungan parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak, Ismail berkata BN perlu menjadi sebuah gabungan dominan.

"Kita bertanding di 178 kerusi parlimen dan seperti yang selalu disebut oleh kepimpinan kita di peringkat Umno dan BN, kita mesti dominan.

"Kalau kita dapat 80 atau 90 kerusi misalnya, lebih mudah untuk parti lain bersama kita.

"Kalau kita ditanya setakat hari ini, kita yakin kita cross 112 (kerusi).

"Tapi kalau tidak berlaku seperti itu, tiada pilihan bagi kita (selain) membentuk kerajaan campuran,” katanya.

Ismail berkata di negara- negara maju, kerajaan campuran adalah biasa dan jarang sebuah parti menguasai kerajaan secara keseluruhan.

“Biasanya akan berlaku kerajaan campuran.

"Kita juga bersedia, kalau kita tak dapat cross 112 (kerusi) kita terpaksa mewujudkan kerajaan campuran.

“Tapi kalau kita hanya (dapat) 40 kerusi, orang lain 60 kerusi, tak mungkin kita boleh lead kerajaan campuran tersebut. Sebab itu kita nak kita yang lead.

“Sebab itu sasaran kita 112 kerusi, atau kalau tak boleh sekali pun , 80 atau 90, kita lebih dominan berbanding parti lain.

“Kalau kita menjemput mereka menyertai kita tentulah perdana menteri daripada kita. Kalau 30, orang lain 80, orang lainlah akan jadi menjadi perdana menteri,” katanya.

.

Lihat Komen
ADS