Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH ikrar beri warga KL lebih banyak suara di DBKL
Diterbitkan:  Nov 16, 2022 3:20 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk membenarkan pengundi Kuala Lumpur mempunyai lebih banyak suara dalam menentukan cara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikendalikan.

Langkah itu melalui perwakilan demokratik di DBKL, kata ahli jawatankuasa manifesto gabungan itu Nik Nazmi Nik Ahmad.

Bagaimanapun, katanya, sama ada ia akan berbentuk pilihan raya kerajaan tempatan akan dibincangkan lebih lanjut.

Nik Nazmi menambah bahawa PH satu-satunya gabungan utama yang menawarkan langkah sebegini, yang boleh memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk di ibu kota.

Kata Nik Nazmi, pembaharuan di DBKL juga merupakan isu yang sering dibangkitkan pengundi yang ditemuinya ketika berkempen di kerusi Setiawangsa.

Ketika ditemui di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini, Nik Nazmi berkata DBKL pada masa ini tidak mempunyai pengawasan perundangan, walaupun mempunyai peruntukan RM3 bilion - lebih besar daripada peruntukan Selangor, negeri paling maju di negara ini.

“Banyak masalah yang melanda ibu kota daripada pembangunan yang berlebihan kepada infrastruktur yang lemah adalah disebabkan oleh anomali ini.

“Kerajaan Perikatan Nasional-BN lebih berminat untuk melindungi kepentingan sendiri daripada kehidupan dan mata pencarian rakyat.

“Kerajaan PH akan menggalakkan penglibatan orang ramai di semua peringkat melalui platform yang konsisten dan terbuka, terutamanya berkaitan dasar kerajaan tempatan yang memberi impak sebenar kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Nik Nazmi berkata PH berharap dapat menjadikan perwakilan yang dipilih di DBKL sebagai perintis kepada kerajaan tempatan di seluruh negara.

Dia juga berkata Kuala Lumpur perlu mendahului perkara ini kerana pengundi di kawasan itu sudah menghadapi defisit demokrasi, hanya mampu mengundi wakil rakyat di peringkat persekutuan.

Ini tidak seperti di negeri lain di mana pengundi boleh mengundi ahli dewan undangan negeri, dan ahli majlis kerajaan tempatan terdiri daripada lantikan politik yang mewakili gabungan atau parti yang menang.

“Jadi, wujud hubungan demokrasi dengan majlis tempatan. Ia tidak sempurna atau benar-benar mewakili tetapi ada sesuatu," katanya, sambil menambah bahawa Datuk Bandar tidak boleh bertindak sendiri, dan keputusan dasar akan diundi pada mesyuarat majlis.

“Bagaimanapun, di DBKL, secara sah semua kuasa terletak pada Datuk Bandar secara individu. Secara tradisinya dia adalah penjawat awam yang dilantik oleh menteri dan kita ada menteri yang bukan dari Kuala Lumpur - dari Ketereh (Annuar Musa) dan Arau (Shahidan Kassim) - menjadi menteri di Wilayah Persekutuan," katanya.

Tambahnya, PH mendesak perkara ini kerana kawasan pilihan raya persekutuan kebanyakannya dipegang oleh wakil dari parti mereka dan mesti menangani isu yang dihadapi oleh pengundi mereka berkaitan isu melibatkan kerajaan tempatan.

“Ahli parlimen KL perlu melakukan segala-galanya daripada kehilangan kucing kepada kapal (tempur pesisir) yang hilang. Kami perlu melakukan segala-galanya kerana kami tidak mempunyai Adun.

"Kita perlu melakukan sesuatu untuk menghilangkan ketakutan pendemokrasian di peringkat tempatan," katanya.

Pergolakan kaum

Pilihan raya kerajaan tempatan, yang juga digelar "undi ketiga" dimansuh berikutan konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1964, atas alasan bahawa ia menyebabkan pergolakan kaum.

Pemansuhan itu dibuat secara kekal oleh Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Bagaimanapun, Nik Nazmi berkata hujah ini tidak lagi terpakai kerana demografi bandar telah berubah sejak 1970-an yang ketika itu kebanyakan penduduk bandar adalah etnik Cina.

Pada 2010, orang Melayu membentuk 56 peratus penduduk bandar di seluruh negara, katanya, manakala di Kuala Lumpur, bancian 2010 menunjukkan Melayu merangkumi 45.9 peratus penduduk, berbanding 43.2 peratus Cina.

"Itu 12 tahun lalu, dan trend demografi menunjukkan bilangan Melayu semakin meningkat berbanding orang Cina," katanya.

Memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan adalah sebahagian daripada manifesto pilihan raya DAP pada 2008.

Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP menghadapi cabaran memenuhi janji ini.

Pada masa itu, setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata ia memerlukan sokongan kerajaan persekutuan untuk meminda beberapa undang-undang persekutuan, termasuk Peraturan-Peraturan Darurat, yang menghalang pilihan raya kerajaan tempatan.

Undi ketiga tidak masuk ke dalam manifesto Pakatan Rakyat pada 2014, dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata ia boleh menyebabkan satu lagi rusuhan kaum seperti tragedi 13 Mei.

Pada 2018, menteri wilayah persekutuan kerajaan PH Khalid Samad mencadangkan ibu negeri Selangor, Shah Alam, menjadi landasan untuk memperkenalkan semula undi ketiga.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak kerajaan Selangor yang mengatakan pihak negeri tidak dirujuk.

Perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika itu menentang pengenalan semula pilihan raya kerajaan tempatan, manakala menteri yang bertanggungjawab bagi kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin berkata kajian diperlukan sebelum keputusan boleh dibuat.

Lihat Komen
ADS