Jalan raya sudah penuh dengan kenderaan sejak petang tadi (17 November 2022). Pilihan raya macam hari raya, bezanya ialah kita pulang ke kampung untuk mengundi.
Seorang kawan saya yang selama ini mengundi PAS terkejut apabila mendapati anak-anaknya yang baru pertama kali mengundi sudah membuat keputusan akan mengundi Pakatan Harapan (PH).
"Macam mana anak-anak aku ni boleh faham situasi politik semasa?" Soalnya.
Saya jawab, "melalui media sosial, maklumat semuanya di hujung jari."
Keterujaan mengundi kali pertama dalam kalangan anak muda berumur 18 hingga 23/24 tahun nampaknya begitu menyerlah kali ini.
Kebanyakan kajian mendapati sekitar 70-80 peratus anak muda akan turun mengundi kali ini.
Jika ini benar-benar berlaku pada 19 November nanti, kehadiran sekitar 4-5 juta pengundi muda ini pasti akan mengubah landskap politik negara.
Ini petanda baik tentang berlakunya perubahan politik di negara ini. Kesedaran begini sangat baik untuk masa depan Malaysia.
Anak-anak muda mula sedar kepentingan mengundi dan pilihan raya bagi masa depan mereka sendiri.
Keperitan cabaran hidup, terpaksa ‘struggle’ bekerja dengan food panda, grab atau lalamove memaksa mereka mencari jawapan kenapa ini semua berlaku.
Sudah tentulah jawapannya ialah masalah ekonomi yang merudum, bukan sahaja disebabkan pandemik Covid-19, tetapi juga disebabkan ketidakstabilan politik dan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.
Anak-anak muda juga sedar tentang penglibatan sebahagian pemimpin dalam skandal rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang semakin membarah.
Kehadiran pemimpin PH yang berjaya membongkar pelbagai skandal rasuah, apa lagi dengan pengakuan terus terang Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bagi mereka begitu jelas.
Lagu "Sakau" ciptaan Altimet mengandungi mesej yang mudah difahami anak muda.
Walaupun pemimpin BN/Umno begitu yakin melalui momentum kemenangan beberapa siri pilihan raya kecil dan negeri, khususnya Melaka dan Johor, tetapi itu tidak mematahkan semangat pembangkang untuk berkempen kali ini.
Apabila BN/Umno mengalami perpecahan kerana beberapa pemimpin mereka yang dijangka mampu menang disingkirkan, ia pasti sedikit sebanyak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada mereka.
Anak-anak muda mula terhimbau dengan kebangkitan rakyat dalam siri ‘roadshow’ PH sejak sebulan yang lalu.
Walaupun kehadiran ramai khalayak dalam sesuatu kempen pilihan raya itu tidak semestinya menggambarkan sokongan pengundi yang sebenar, namun bagi anak muda yang pertama kali akan mengundi, ia merupakan pencetus semangat untuk turut serta dalam proses pemilihan dan pembentukan negara.
Gelombang kebangkitan rakyat dan keterujaan pengundi muda kali ini tidak mustahil menyebelahi satu gabungan parti yang lebih diyakini mampu menerajui negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Isu pekerjaan, gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan, kos sara hidup dan kenaikan harga barang, "food security", pemasaran digital, pendidikan dan penjagaan kesihatan menjadi fokus anak muda kali ini.
Mereka turut muak dengan percaturan politik perkauman sempit dan tafsiran agama yang bersifat menghukum.
Bagi mereka, PRU15 adalah medan pemilihan pemimpin dan parti mana yang lebih berwibawa dan dipercayai mampu membawa perubahan demi masa depan negara.
Pemimpin dan parti mana yang mampu menampilkan pemimpin dan tawaran manifesto yang boleh menarik pelabur luar, meningkatkan ekonomi negara, mentadbir negara dengan telus dan menghapuskan najis rasuah lah yang akan mereka pilih.
Mereka faham bahawa ‘memilih dan mengharapkan pemimpin yang sama untuk mendapat hasil yang berbeza adalah sesuatu yang mustahil’.
Oleh itu, anak-anak muda mesti bijak membuat pilihan. Propaganda kononnya PH yang hanya memerintah selama 22 bulan gagal menunaikan janji manifesto tidak dapat diterima.
PH sebenarnya berjaya mengurangkan kadar tol, mengheret perasuah ke muka pengadilan, menghapuskan GST, menambah peruntukan untuk kesihatan, pendidikan dan agama Islam adalah hakikat kejayaan yang tidak dapat dinafikan.
PH juga berjaya membendung kenaikan harga barang dan indeks rasuah negara dapat diturunkan ke angka 52 berbanding 62 pada zaman BN dan PN. Begitu juga kejayaan menurunkan cabutan judi daripada 22 kepada 8.
Kejayaan PH mendapatkan hak mengundi pada umur 18 tahun, menghadkan pemegang jawatan PM dan MB kepada maksimum dua penggal dan undang-undang anti lompat parti juga adalah satu kejayaan PH yang signifikan.
Itu baharu 22 bulan. Sudah tentulah jika PH diberi peluang memerintah selama lima tahun, lebih banyak perubahan dan kemajuan dapat dilaksanakan.
Tumpuan PH kepada pemerkasaan ekonomi B40, OKU dan warga emas, di samping mencipta peluang pekerjaan untuk anak muda, pemuliharaan alam sekitar dan meningkatkan peratus TVET akan memberikan impak baharu kepada masa depan negara.
Kehadiran lebih 80 peratus pengundi pada PRU kali ini menandakan akan berlakunya perubahan besar dalam keputusan kali ini.
Nasihat saya, pilihlah pemimpin yang berintegriti, berilmu, menolak najis rasuah, telus, berkemampuan dan adil dalam mentadbir negara.
Masa depan Malaysia terletak di tangan anak-anak muda. Turunlah mengundi beramai-ramai. Bangkitlah wahai anak muda!
Dr Bam Al-Haj adalah seorang pemerhati politik dan penulis buku.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi MalaysiaKini.
