Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH mendahului - Merdeka Center
Diterbitkan:  Nov 18, 2022 10:25 PM
Dikemaskini: 2:39 PM

PRU15 | Tinjauan bebas yang dijalankan oleh Merdeka Center mengunjurkan bahawa PH akan menang 82 kerusi parlimen esok.

Bagaimanapun, unjuran berkenaan tidak mengambil kira 45 kerusi parlimen yang dianggap sengit.

Setakat ini, badan itu meramalkan PN menduduki tempat kedua dengan memperoleh 43 kerusi parlimen diikuti Gabungan Parti Sarawak (24 kerusi).

BN diramalkan hanya menang 15 kerusi parlimen.

"Dalam tempoh berkempen yang berikutnya, kita perhatikan terdapat pergerakan pengundi Melayu yang ketara kepada Perikatan Nasional dan sedikit sebanyak, PH. Perkembangan ini telah mengorbankan BN.

“Sebahagian besar pengundi bukan Melayu kekal menyokong PH,” kata badan itu.

Antara 16 Nov dan 18 Nov, Merdeka Center mendapati responden kebanyakannya menyokong PH (33.6 peratus), diikuti PN (20.3 peratus) dan BN (15.4 peratus).

"Kami ambil perhatian bahawa sebanyak 29 peratus pengundi enggan mendedahkan pilihan mereka. Berdasarkan pengalaman, kami fikir kemungkinan besar kebanyakan jawapan yang tidak didedahkan ini berkemungkinan memilih parti pembangkang," kata Merdeka Center.

Badan itu menganggarkan pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor, mereka yang enggan mendedahkan jawapan kebanyakannya mengundi PN (55 peratus), diikuti BN (30 peratus) dan PH (15 peratus).

Tinjauan tersebut dijalankan antara 3 Nov dan 18 Nov. Ia melibatkan 5,497 pengundi Malaysia berumur 18 tahun ke atas dari Semenanjung Malaysia sahaja.

Responden dipilih berdasarkan persampelan rawak berstrata melibatkan pengundi daripada 165 kawasan pilihan raya di Semenanjung Malaysia.

Unjuran untuk Sabah dan Sarawak diekstrapolasi daripada tinjauan yang lepas, keputusan pilihan raya negeri dan penyelidikan kualitatif di kedua-dua negeri.

Unjuran Merdeka Center tidak termasuk Padang Serai berikutan pengudian di kerusi parlimen tersebut telah ditangguhkan.

Badan itu menyatakan bahawa Anwar Ibrahim adalah pilihan utama sebagai perdana menteri dalam kalangan 32.6 peratus responden, diikuti Muhyiddin Yassin (25.5 peratus) dan Ismail Sabri Yaakob (16.6 peratus).

Bagaimanapun, Anwar adalah pilihan yang paling tidak disukai dalam kalangan pengundi Melayu, yang kebanyakannya cenderung menyokong Muhyiddin.

Tinjauan itu juga mendapati 77 peratus responden menyatakan mereka akan mengundi, tanpa banyak perbezaan yang ketara dalam kalangan kumpulan etnik utama.

"Walaupun mungkin terdapat margin kesilapan tertentu dalam angka-angka ini, trend keseluruhan menunjukkan minat yang semakin meningkat dalam pilihan raya dan semakin meningkat niat untuk keluar mengundi," kata Merdeka Center.

Lihat Komen
ADS