Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azhar minta ketua parti serah SD sokong calon PM
Diterbitkan:  Nov 20, 2022 6:23 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun berkata dia telah memaklumkan kepada ketua dan setiausaha agung parti yang menang “jumlah kerusi yang substansial” untuk memberikan surat akuan bersumpah berserta senarai ahli parlimen dari parti mereka yang bersetuju untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Azhar berkata, setiap mereka juga diminta membuat surat akuan berkanun menamakan seorang ahli Dewan Rakyat yang disokong mereka untuk menjadi perdana menteri.

Surat tersebut kemudian akan diserahkan oleh ketua parti mereka kepada Istana Negara selewat-lewatnya jam dua petang esok, kata Azhar.

“Menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada hari ini, saya telah pun mengutuskan surat kepada ketua-ketua parti dan setiausaha-setiausaha agung parti-parti politik yang menang jumlah kerusi yang substansial pada PRU15 untuk mengemukakan nama parti-parti dan ahli-ahli parlimen bebas (sekiranya ada) yang bersetuju untuk menganggotai gabungan yang mempunyai sekurang-kurangnya 112 kerusi bagi menubuhkan kerajaan persekutuan melalui surat akuan berkanun oleh ketua parti.

“Mereka juga diminta menamakan seorang daripada ahli Dewan Rakyat dalam gabungan mereka yang diberi kepercayaan untuk menjadi perdana menteri ke-10 melalui surat akuan berkanun dari setiap ahli Dewan Rakyat yang menganggotai gabungan tersebut yang dinyatakan dengan terang dan jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Agong mahu ketua-ketua parti dan gabungan yang menang “banyak kerusi” memaklumkan kesepakatan dengan parti-parti lain untuk membentuk kerajaan sebelum jam dua petang esok.

Baginda juga mahu tahu berkaitan calon perdana menteri mereka, kata Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.

Sehubungan itu, Azhar dititahkan untuk memohon perkara itu kepada pihak terbabit.

Terbaru, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan mereka bersetuju untuk bergabung dengan BN dan Perikatan PN untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Pengerusinya Abang Johari Openg dilaporkan Bernama sebagai berkata GPS juga bersetuju untuk mencalonkan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri.

Bagaimanapun setakat ini belum ada sebarang pengumuman atau kenyataan rasmi dikeluarkan oleh BN berhubung kerjasama tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS