Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GPS serah kebijaksanaan Agong putuskan siapa PM
Diterbitkan:  Nov 22, 2022 10:42 AM
Dikemaskini: 6:23 AM

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk membuat keputusan mengenai calon yang sepatutnya menjadi perdana menteri ke-10.

Dalam satu kenyataan, GPS berkata gabungan itu telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan daripada gabungan yang terdiri daripada PN, BN, GPS dan GRS yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut mengenai PH yang menang 82 kerusi parlimen pada pilihan raya umum baru-baru ini.

“Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.

“Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukan kepada baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik perdana menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara,” katanya dalam kenyataan.

GPS turut menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambilkira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

GPS sebelum ini mengisytiharkan sokongan untuk membentuk kerajaan bersama PN dan BN. Bagaimanapun semalam gabungan itu membuka pilihan terhadap kemungkinan lain.

Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Tiong King Sing berkata GPS - yang mempunyai 22 kerusi parlimen- akan menunggu penjajaran politik PN diselesaikan sebelum gabungan itu membuat keputusan.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak United People’s Party (SUPP) dan PDP.

Gabungan parti-parti dari Sarawak itu menang 22 kerusi parlimen pada PRU15, dengan PBB memperoleh 14 kerusi, PRS (5), SUPP (2) dan PDP (1).

Lihat Komen
ADS