Banjir kilat yang melanda hampir 50 kali dalam tempoh setahun semestinya menimbulkan rasa bimbang dan cemas kepada lebih 50 keluarga yang tinggal di Kampung Batu Papan 2, di Gua Musang, setiap kali tibanya musim Monsun Timur Laut (MTL) di Kelantan.
Penduduk Chong Lip Meng, 48, berkata penduduk menghadapi isu tersebut semenjak lebih lima tahun lalu malah terdapat beberapa rumah yang sering menjadi tempat tumpuan apabila banjir berlaku.
"Setiap kali hujan lebat lebih dua jam, air akan mula naik dan menenggelamkan jambatan utama yang menghala ke rumah saya. Malah, enam rumah di sini sering dilanda banjir kilat.
"Bukan sahaja bahaya, tapi memenatkan juga sebab kami perlu sentiasa berwaspada apabila musim hujan, malah terpaksa menanggung kerugian harta-benda yang dialami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Baru Papan 2, hari ini.
Peniaga dan pekebun Chong Yok Fon, 50, berkata penduduk merayu agar langkah drastik diambil oleh pihak berwajib untuk mengatasi segala masalah yang sering membelenggu penduduk sejak sekian lama.
"Kami harap ada jalan penyelesaian yang drastik untuk masalah ini, kami belum bersedia untuk berpindah ke lokasi baharu kerana rumah ini dekat dengan kebun saya," katanya menambah penempatan itu mempunyai kira-kira 250 penduduk Cina.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata masalah itu perlu diteliti dan langkah proaktif diambil supaya punca sebenar kejadian banjir kilat ini dapat diselesaikan dengan segera.
-- BERNAMA
