Pemuda Umno menempelak Perikatan Nasional (PN) yang dianggapnya cuba melakukan persefahaman secara senyap-senyap dan mendapatkan sokongan daripada 10 ahli parlimen BN bagi membentuk kerajaan pusat.
Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki sebaliknya menganggap Pakatan Harapan (PH) bersikap lebih budiman dan beradab kerana datang bertemu dengan pemimpin BN secara terbuka di Hotel Seri Pasific kelmarin.
Sebab itulah pertemuan dengan PN yang sepatutnya dijadualkan sejak dua hari lalu terpaksa ditunda beberapa kali.
"Kononnya, PN sudah cukup numbers ahli parlimen yang menyokong perlantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri," katanya dalam kenyataan di media sosial petang ini.
Ia dibuat bagi menjelaskan mengapa beberapa pemimpin kanan BN berkunjung ke sebuah hotel di Kuala Lumpur petang ini untuk bertemu pemimpin kanan PN.
Antara yang hadir bagi pihak BN ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan. Di pihak PN pula antaranya ialah pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin, dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Sebenarnya, kata Asyraf Wajdi, pertemuan petang tadi dibuat selaras dengan pendirian Dewan Tertinggi BN untuk bersikap terbuka bagi bertemu dan berunding dengan PH dan PN bagi membincangkan kerajaan perpaduan.
Malam ini, kata Asyraf, Majlis Kerja Tertinggi Umno akan memperhalusi kedua-dua tawaran yang diterima mereka - daripada PH dan PN - dan sekali gus akan akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan agar BN menyokong pembentukan kerajaan perpaduan.
"Cuma persoalannya: kenapakah PN begitu bongkak dan sombong untuk menolak titah nasihat Tuanku Agong agar dibentuk kerajaan perpaduan ya?" katanya.
