Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan sendiri bawa usul uji keabsahan Anwar sebagai PM
Diterbitkan:  Nov 24, 2022 9:32 PM
Dikemaskini: 2:24 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sidang parlimen akan diadakan pada 19 Dis ini dengan agenda terawal ialah mengenai usul undi percaya ke atasnya.

Dalam sidang media pertamanya sebagai perdana menteri, Anwar menjelaskan usul pertama itu akan dibawa sendiri oleh kerajaan.

Pengumuman Anwar itu dibuat selepas Perikatan Nasional (PN) hari ini meragui keabsahan jumlah sokongan yang diterimanya.

Kata Anwar, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin siang tadi menegaskan perlunya kesahihan sokongan yang diterima itu dibuktikan di parlimen.

Justeru kata ahli parlimen Tambun itu lagi kerajaan bersetuju membuktikan keabsahan tersebut.

"Saya ingin menjelaskan di sini, kita tetapkan sidang parlimen pada 19 haribulan (Dis) dan usul pertama selain angkat sumpah adalah usul daripada kerajaan iaitu undi percaya di parlimen.

"Jadi bagi saya tidak timbul keresahan kita tentang keabsahan yang ada," katanya.

Terdahulu Muhyiddin dilaporkan mencabar Anwar mengemukakan jumlah sokongan yang dimiliki bagi mengabsahkan pelantikan sebagai perdana menteri.

Muhyiddin berkata, dia sebaliknya yakin sudah mendapat majoriti mencukupi untuk menjadi perdana menteri melalui sokongan 115 ahli parlimen.

Muhyiddin mendakwa dia mendapat sokongan 73 ahli parlimen PN; GPS (22); BN (10); GRS (6); Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat ataupun (1) dan bebas (2).

Sokongan itu katanya dikemukakan secara akuan bersumpah (SD) dan diserahkan kepada Istana Negara sebanyak dua kali iaitu pada 21 dan 22 Nov.

Menurut Anwar ketika ini PH merupakan blok terbesar di Dewan Rakyat dan ia mendapat sokongan bukan saja daripada BN malah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya Premier Sarawak Abang Johari Openg sendiri menyatakan sokongan GPS kepada kerajaan perpaduan sekarang.

"Jadi soal kestabilan tidak berbangkit. Kerajaan perpaduan yang juga disertai beberapa parti lain termasuk Warisan, Muda, dan bebas serta Parti Bangsa Malaysia," katanya.

Dalam sidang media itu juga Anwar menyatakan keterbukaannya untuk menerima penyertaan PN sesuai dengan kedudukannya sebagai kerajaan perpaduan.

Tawaran itu dibuat, katanya, ketika PH menyedari reaksi yang diberikan Muhyiddin tidak memberangsangkan apabila mereka mempertikaikan keabsahan kerajaan dan jumlah majoritinya.

  • N Faizal Ghazali dan Haspaizi Zain turut menyumbang untuk laporan ini.

Lihat Komen
ADS