Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

pendapat

Usaha Amerika Syarikat untuk mengawal dengan lebih ketat kemasukan mereka dari "negara Arab dan Islam" telah menimbulkan persoalan yang patut diambil perhatian, khususnya selepas Malaysia diumumkan oleh pimpinannya sebagai sebuah "negara Islam." Maksud dan matlamatnya berbeza di antara pimpinan AS dan Malaysia. Bagaimanapun perkembangan di kedua belah pihak ini merupakan cabaran besar bagi masyarakat Malaysia.

Dalam satu sidang akhbar di Washington, DC pada 9 November 2001, jurucakap Jabatan Negara Amerika, Richard Boucher, mengumumkan satu usaha untuk mengawal lebih ketat pengeluaran visa perjalanan ke AS.

Walaupun pada ketika itu tiada senarai negara tertentu dikeluarkan, tetapi kemudiannya muncul laporan akhbar di AS yang secara jelas menyatakan bahawa peningkatan kawalan itu dikenakan khasnya kepada lebih 20 "negara Arab dan Islam" termasuk Malaysia. Ini kerana pada umumnya sebahagian besar penduduk negara yang disenaraikan itu adalah beragama Islam.

Apabila peraturan baru itu dipersoalkan sebagai satu dasar berbau perkauman, Boucher berkata bahawa "sebagai sebuah negara, kami sememangnya memiliki hak dan tanggungjawab untuk memastikan keamanan sempadan kami."

Apa yang ketara, pihak kedutaan AS di Kuala Lumpur tidak bersedia untuk menerima peraturan yang bakal menimbulkan kemarahan orang ramai itu. Setelah menafikannya, baru pada 14 November kedutaan mengaku bahawa "syarat masuk diperketatkan untuk lelaki berusia di antara 16 dan 45 tahun dari negara Islam termasuk Malaysia."

Tiba-tiba Malaysia dicapkan sebagai "negara Islam" oleh AS. Perkembangan ini tidak mengejutkan masyarakat Malaysia kerana pada bulan September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sendiri mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah negara Islam. Bagaimanapun maksud dan matlamat penggunaan "negara Islam" di mata pemerintah AS dan pimpinan Malaysia adalah berbeza.

Sudut berbeza

Kesimpulan pemerintah AS itu bertolak daripada pandangan bahawa negara yang memiliki ramai penduduk beragama Islam dengan sendirinya menimbulkan bahaya. Oleh itu, India juga disenaraikan oleh Jabatan Negara Amerika. Dengan jumlah pemeluk agama Islam melebihi 100 juta, iaitu 12 peratus daripada jumlah penduduknya, India mempunyai masyarakat Islam kedua besar di dunia.

Pimpinan Malaysia pula melihatnya daripada sudut yang berbeza daripada AS, iaitu negara dan masyarakat Islam di sini memaparkan peradaban sebenar agama tersebut: bertolak ansur, aman dan mengamalkan demokrasi. Pada pandangan mereka, pemerintahan, institusi dan masyarakat sedia ada sudah berteraskan pola-pola Islam.

Di sini terdapat silap tafsir di kedua belah pihak. Tindakan AS adalah bebal kerana sejumlah besar penduduk Islam tidak dengan sendirinya melahirkan sarang pengganas. Langkah-langkah baru dalam proses permohonan visa mungkin diperlukan, tetapi tanpa ditujukan kepada masyarakat Islam secara khas.

Jika matlamat utama langkah tersebut adalah untuk mengesan pengganas politik, ia mestilah dilaksanakan tanpa mengira kaum dan agama. Bukankah sebahagian daripada 19 orang yang disyaki menyerang Pusat Dagang Dunia dan Pentagon September lalu, terdidik dan bergerak di negara-negara Eropah?

Sebaiknya kawalan permohonan visa diperketatkan di situ dan bukan secara menyeluruh di negara bermasyarakat Islam. Peraturan baru AS hanya merugikan kerana ia memusuhi jutaan warga dunia, termasuk ramai sahabat rakyat Amerika sendiri.

Bagaimana pula dengan sikap masyarakat dan pemimpin Malaysia di tengah-tengah persoalan besar ini? Pemimpin Umno nampaknya bersetuju dengan pengakuan Perdana Menteri bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Contohnya, dalam satu wawancara akhbar The Sun baru-baru ini, Menteri Besar Johor, Datuk Ghani Othman mengulang pengakuan tersebut. Jika diteliti pembicaraannya, nampaknya pembangunan ekonomi dan sosial di bawah pimpinan menteri besar itu seakan-akan tertumpu kepada masyarakat Islam. Tidak tersebut sepatah pun mengenai orang bukan Islam, kecuali apabila menyentuh sokongan kelompok Cina dan India untuk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum tahun 1999.

Bukankah jawatan menteri besar itu mewakili keseluruhan penduduknya dan bukan yang beragama Islam sahaja? Menurut unjuran penduduk berasaskan banci tahun 1991, jumlah penduduk Johor menghampiri 2.6 juta. Terdapat 52 peratus orang Melayu, 35 peratus orang Cina, 7 peratus orang India dan 6 peratus orang lain di negeri itu.

Yang beragama Islam dan yang bukan Islam memiliki tanggungjawab dan menghadapi cabaran yang sama sebagai insan dan warganegara dan tidak dapat diperhitungkan sebagai sumber undi sahaja. Semua akan rugi jika pimpinan mengambil berat kepentingan sebahagian dan bukan keseluruhan masyarakat yang diwakilinya.

Budaya Islam?

Sikap membezakan Islam dan bukan Islam jangan dibiarkan membiak kerana ia menyebabkan masalah yang akan menghambat pembentukan komuniti politik dan budaya seMalaysia. Pimpinan ingin menonjolkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan sikap bertolak-ansur, hidup aman dan berpolitik demokrasi. Selari dengan usaha itu, kepentingan masyarakat Islam dengan sendirinya dititikberatkan.

Jika diteliti isu "negara Islam" beberapa persoalan perlu diutarakan. Adakah benar ciri budaya politik Malaysia berasaskan Islam sahaja? Keadaan politik dan ekonomi Malaysia memungkinkan kestabilan negara dan bukan Islam semata-matanya. Boleh dikatakan masyarakat Malaysia pada umumnya masih percaya kepada sistem demokrasi berparlimen walaupun banyak tercabar oleh krisis politik beberapa tahun kebelakangan ini.

Selain politik, ekonomi negara masih bertahan dibandingkan dengan kebanyakan negara Asia Tenggara sejak krisis kewangan tahun 1997. Kemelaratan di kalangan masyarakat walaupun wujud, tidaklah seluas negara lain.

Di luar persoalan ekonomi politik, sejarah jangka masa panjang masyarakat Islam di Malaysia tidak kurang pentingnya. Baik pihak pemerintah mahupun parti politik pembangkang kini gigih berusaha untuk mengawal dan menyelaraskan soal keagamaan. Bagaimanapun, kenyataannya masyarakat tetap menunjukkan perbezaan amalan keagamaan di kalangan Melayu sendiri dan kepelbagaian budaya yang memperkayakan peradaban Islam di rantau ini. Sejak awal-awal lagi orang beragama Islam telah hidup dan berkembang bersama pelbagai pengaruh, termasuk budaya orang Asli, India, Cina, Arab, Farsi, Eropah dan lain-lain.

Kekuatan masyarakat Malaysia adalah kepelbagaian budaya dan agamanya yang berteraskan interaksi antara peradaban dunia sejak zaman dahulu serta amalan politik dan ekonomi yang berdaya tahan. Keadaan yang serba rumit dan menarik inilah yang telah membentuk warga Malaysia, baik yang beragama Islam mahupun tidak. Pada umumnya, hanya sejumlah kecil orang Malaysia yang tidak kenal serba-sedikit tentang Islam dan sama halnya dengan agama Buddha, Hindu, Tao, Kristian serta kepercayaan lain.

Masyarakat AS di sebaliknya tidak begitu terdedah kepada kepelbagaian budaya dunia, khasnya Islam, dan mudah terpengaruh oleh pembebalan pemimpinnya. Satu perkembangan yang menggalakkan setelah serangan di Bandaraya New York adalah kemunculan pemimpin Islam Amerika dalam usaha menyedarkan orang ramai tentang masyarakatnya. Hampir dua juta orang Islam dianggar menetap di AS, dan sejak pemimpin politik berkulit hitam seperti Malcolm X memeluk Islam atas keyakinan terhadap keadilan agama tersebut, sejumlah besar umatnya adalah orang Amerika keturunan Afrika.

Kawalan khas terhadap warganegara yang dicapkan "Islam" adalah kepentingan bersama masyarakat Malaysia. Sesiapa yang menolak pendirian ini mengambil sikap yang bukan-bukan. Tidak mustahil, pada satu ketika nanti, sekiranya orang keturunan Cina pula di mana-mana tempat diperlakukan secara tidak adil oleh pemerintah AS. Keadaan begitu boleh sahaja muncul jikalau hubungan AS dan Republik Rakyat Cina terjejas.

Apabila AS ataupun pemerintah Malaysia mengecap negara ini "Islam," walaupun berbeza alasan dan matlamatnya, kedua-dua pihak tersilap. Malaysia terbentuk daripada pelbagai pola budaya dan masyarakat yang bergantung pada satu sama lain.


SUMIT MANDAL ialah seorang sejarahwan.

Rujukan

:

Asuki Abas dan Nizam Yatim, "Malaysia negara Islam - PM Dr Mahathir sahut cabaran Fadzil," Utusan Malaysia , 30 Sept 2001, hlm 1.

Schweid, Barry, "Arab, Muslim men face wait for visas," The Boston Globe , 10 Nov 2001, hlm A7.

Sheridan, Mary Beth and Dan Eggen, "Arab, Muslim men to get tougher US visa screening," The Washington Post , 14 Nov 2001, hlm A24.

" Transcript: State's Boucher on Slowdown of Visa Processing ," Washington, DC: US Department of State, International Information Programs, 9 Nov 2001, (23 Nov. 2001).

Vijian, P, "Ghani: Johor will take a great leap forward," The Sun , 25 Nov 2001, pp 16-17.

Vijian, P, "The role of Islam, Umno's place and the opposition's burden," The Sun , 25 Nov 2001, pp 16-17.

"Visa curbs affect Malaysians," The Sun , 15 Nov 2001, p 5.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS