Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi sedia ke Bukit Aman untuk disiasat
Diterbitkan:  Nov 29, 2022 6:46 AM
Dikemaskini: 6:46 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan pihaknya tidak mempunyai masalah dengan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mahu polis menyiasat pemimpin parti itu.

Ditanya mengenai kenyataan dibuatnya yang dianggap keterlaluan sehingga boleh mengancam keharmonian negara, Abdul Hadi berkata dia akan memberikan kerjasama jika perlu.

"Nak report (polis) report-lah, saya sedia pergi Bukit Aman tak apa," katanya ringkas pada sidang media selepas program ceramah sempena pilihan raya kecil DUN Tioman, Pahang, malam tadi.

Semalam Malaysiakini melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan polis mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat fitnah atau mengeluarkan kenyataan keterlaluan sehingga boleh mengancam keharmonian negara.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yang mendedahkan perkara itu dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Presiden PH semalam.

Kempen menjelang PRU ke-15 dan hari-hari selepasnya menyaksikan sesetengah pihak memainkan sentimen kaum dan agama untuk mengolah sokongan terhadap pihak tertentu.

Antara isu yang dibangkitkan ialah kononnya tragedi 13 Mei akan berlaku sekali lagi jika PH diberi sokongan untuk menjadi kerajaan.

Semalam Malaysiakini juga melaporkan Abdul Hadi menuduh DAP - salah satu parti komponen PH - mempromosikan Islamofobia di negara ini.

Kenyataan itu susulan laporan polis yang dibuat oleh pemimpin dan penyokong PH terhadap kenyataan kebencian yang didakwa disebarkan oleh ahli dan penyokong PAS secara dalam talian semasa dan selepas PRU ke-15.

Ketika ceramahnya pada 16 Nov, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin pula mendakwa PH adalah ejen Yahudi dan Kristian yang ingin menjajah Malaysia.

Bagaimanapun, Muhyiddin kemudiannya mendakwa kenyataannya yang mengaitkan PH sebagai ejen Yahudi telah petik di luar konteks.

Lihat Komen
ADS