Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekalan telur masih sukar didapati di pasaran
Diterbitkan:  Dec 1, 2022 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Krisis bekalan telur ayam terus membelenggu pengguna apabila ia masih sukar didapati di pasaran di seluruh negara.

Situasi itu menyebabkan pengguna terbeban, ditambah pula dengan sikap segelintir peruncit yang bertindak mengehadkan jualan selain mengenakan harga yang mahal.

Di KUALA LUMPUR, peniaga di Pasar Datuk Keramat, Hashim Bahrawi, 57, berkata sebelum ini dia boleh mendapatkan bekalan telur ayam daripada pembekal sebanyak 35 papan sehari namun kini hanya 15.

“Hari ini saja, saya dapat telur gred A sebanyak lima papan manakala bagi gred B dalam 10 papan. Kalau dahulu, saya selalu ambil 15 papan telur gred A dan 20 papan telur gred B,” katanya kepada Bernama.

Pembeli Soo Yin Mun, 53, turut meluahkan rasa kesal terhadap bekalan telur yang sukar didapati di kawasan berkenaan apatah lagi harganya yang kian meningkat daripada biasa.

Di PERAK, Ahli Gerakan Pengguna Negeri Perak Aswannudin Hariffudin berkata hasil tinjauannya di sekitar Rapat Setia dan Chemor, Ipoh mendapati peniaga kedai runcit dan kedai makan memaklumkan sukar mendapatkan bekalan telur di sesetengah tempat.

“Ada peniaga kedai makanan mengeluh kerana terdapat kuota untuk membeli telur ayam. Lori yang membawa bekalan pun menyatakan tiada bekalan. Sekiranya ada, ia lebih mahal daripada harga biasa. Terdapat aduan rakyat mengenai telur yang dijual, banyak yang rosak atau membusuk,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak meminta aduan rasmi dikemukakan sekiranya terdapat kekurangan bekalan ayam dan telur bagi memudahkan pihaknya mengambil tindakan segera.

Di KELANTAN, tinjauan Bernama di dua pasar raya di Gua Musang mendapati tiada bekalan telur papan dijual menyebabkan pelanggan tiada pilihan selain membeli telur ayam Omega yang dijual pada harga RM8.30 bagi 10 biji.

Peniaga kedai makan, Sunon Champakhao, 56, berkata kekurangan bekalan menyebabkannya terpaksa mengurangkan kuantiti menu berasaskan telur ayam.

“Sekarang sangat susah beli telur dalam jumlah yang banyak, ada masanya kami terpaksa membeli telur segar berharga RM7.90 untuk 10 biji, ini juga memberi kesan terhadap perniagaan kami,“ katanya kepada pemberita di Pasaraya Econjaya Gua Musang hari ini.

Di SELANGOR, Ketua Seksyen Operasi, Seksyen Penguatkuasaan KPDNHEP Selangor Mohd Shahran Mohd Arshad mengakui terdapat kekurangan bekalan telur ayam di pasaran khususnya melibatkan golongan peniaga yang memerlukan bekalan telur yang banyak untuk meneruskan perniagaan mereka.

“Bagi pengguna akhir atau pelanggan biasa, memadai kita beli ikut keperluan memandangkan jangka hayat telur tidak lama.Tidak guna untuk simpan dalam kuantiti banyak. Jadi saya ingatkan pengguna jangan lakukan pembelian panik,” katanya.

Beliau berkata setakat ini KPDNHEP Selangor belum menerima sebarang aduan berhubung ketiadaan bekalan telur bersubsidi gred A, B dan C serta isu menyorok telur ayam di negeri ini.

Mohd Shahran berkata bekalan ayam yang dilaporkan berkurangan sudah kembali pulih dan penjual ayam turut mengenakan harga tidak melebihi harga maksimum RM9.40 serta tiada caj pemotongan ayam dikenakan kepada pembeli.

Di TERENGGANU, Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata stok di peringkat pemborong sudah mencapai 100 peratus dan kini bekalan itu dalam proses edaran dalam masa terdekat selain peniaga juga didapati mematuhi harga kawalan yang telah ditetapkan.

Di KEDAH, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata pihaknya membuat pemeriksaan semalam dan mendapati terdapat 3,000 bekalan telur di premis namun telur itu hanya mampu bertahan antara 30 minit hingga satu jam sebelum rosak.

Tinjauan Bernama di kedai runcit sekitar Alor Setar mendapati telur ayam gred B dijual pada harga RM14 bagi 30 biji manakala ada kedai yang menjual telur terhad kepada 10 biji sahaja pada harga RM4.50 bagi setiap pembelian 10 biji itu.

Sementara itu, di PAHANG dan PULAU PINANG, tinjauan mendapati harga ayam segar masih tinggi walaupun bekalan diperoleh terus dari kilang pemprosesan.

Pengusaha restoran nasi ayam di Kuantan, Mohd Nadzir Ali, 45, berkata beliau memerlukan 120 ekor ayam sehari dan berpendapat harga ayam pada RM9.30 sekilogram masih tinggi.

Mohd Shafi Yaakob, 27, yang berniaga ayam di beberapa pasar di sekitar Bayan Baru dan Bayan Lepas pula berkata beliau membeli ayam segar daripada pemborong pada harga RM9.10 sekilogram dan mustahil boleh menjual semula pada harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.40.

Di NEGERI SEMBILAN, seorang peniaga ayam segar di Pasar Ampangan, Alizan Tambi, 51, berkata peniaga kecil sepertinya tertekan kerana masih menghadapi kekurangan bekalan ayam daripada pembekal sejak pertengahan tahun ini sehingga kini.

Beliau berkata pembekal memberikan harga kira-kira RM7.60 hingga RM7.70 sekilogram ayam kepada peniaga sepertinya namun bergantung kepada pertimbangan pembekal itu sendiri.

“Jika bayaran okey, boleh dapat harga yang murah sedikit daripada pembekal. Had bekalan yang saya terima pula hanya 400 hingga 500 ekor sahaja dan ia tidak mencukupi. Saya terpaksa jual pada harga RM10.50 hingga RM10.90 sekilogram,” katanya.

Sementara itu di SABAH, tinjauan di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran mendapati harga telur dan ayam stabil serta tidak banyak berubah.

Harga telur gred A antaranya di Pasar Kota Kinabalu, Pasar Donggongon di Penampang dan Pasar Tuaran mendapati sekitar RM15 untuk 30 biji sepapan manakala gred B untuk jumlah sama pada RM14.70 dan gred C berharga RM14.40.

Harga ayam super pula berbeza di tiga pasar itu iaitu sekitar RM11.50 sekilogram di Pasar Donggongon di Penampang dan Pasar Tuaran manakala Pasar Kota Kinabalu sekitar RM12 sekilogram.

Peniaga barangan segar di Kota Kinabalu, Khairul Jani Mat Jun berkata peniaga masih boleh mengekalkan harga telur dan ayam buat masa ini namun jumlah stok yang diterima daripada pembekal kini agak rendah berbanding biasa.

“Dua tiga minggu ini bekalan sudah semakin baik, stok itu ada tetapi minggu ini sudah mula bekalan yang sampai itu kurang berbanding biasa. Bimbang juga jadi seperti sebelum ini, amat kurang stok sehingga harga melambung, peniaga susah dan pembeli lagi susah,” katanya.

Di MELAKA, Pengarah KPDNHEP negeri Norena Jaafar berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan kenaikan harga ayam mahupun telur.

Beliau berkata harga ayam adalah RM10.40 sekilogram dan penjual mengenakan caj pemotongan RM1 serta diseragamkan di seluruh negeri manakala bagi telur ayam pula, peniaga menjual barangan keperluan tersebut mengikut harga kawalan iaitu gred A, B dan C dijual pada harga 45 sen, 43 sen dan 41 sen sebiji.

- Bernama

Lihat Komen
ADS