Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN harap momentum PRU15 dorong kemenangan di Padang Serai

Kempen pada pilihan raya kecil Padang Serai dilihat berjalan lancar, dengan baki kira-kira seminggu sebelum hari mengundi pada 7 Dis.

Pemerhati dan pimpinan politik berkata pilihan raya kali ini dirasakan kurang sengit berbanding biasa.

Walaupun bendera parti, poster dan sepanduk boleh dilihat menghiasi kawasan seperti pekan Padang Serai, Lunas, Paya Besar dan Taman Teknologi Tinggi Kulim, kebanyakan kawasan itu nampaknya tidak "dijangkiti demam pilihan raya".

Tidak ramai pemimpin tertinggi daripada mana-mana parti yang turun berkempen di Padang Serai setakat ini. Bagaimanapun lebih ramai dijangka turun pada pertengahan kempen.

Kempen yang kurang meriah mungkin berpunca daripada isu pelantikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim baru-baru ini selepas berakhirnya PRU15, yang menyaksikan PH dan BN bersama-sama GPS, GRS dan Warisan membentuk kerajaan persekutuan.

Walaupun PN terlepas peluang menjadi kerajaan, jelas sekali gabungan itu memperolehi keuntungan besar pada PRU15, dengan gelombang sokongan PN melanda negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

Berikutan prestasi yang ditunjukkan pada PRU15, PN kini merasakan Padang Serai – yang dimenangi PKR sejak 2008 – hampir berada dalam genggaman mereka.

Calon PN di Padang Serai, Azman Nasruddin begitu yakin untuk menang di kerusi berkenaan sehingga mengisytiharkan Padang Serai akan menjadi kerusi parlimen ke-14 milik gabungan itu di Kedah.

PRU15 menyaksikan PN merampas hampir semua kerusi parlimen Kedah - kecuali Sungai Petani, yang kekal bersama PH.

Malaysiakini juga melihat sokongan padu terhadap kempen Azman seperti yang ditunjukkan pada Ahad lalu apabila dia melawat pasar malam di Jalan Kelang Lama di Lunas.

Semasa lawatannya, penyokong PN sanggup berhujan di sepanjang jalan sambil membawa bendera dan sepanduk, selain meminta pemandu membunyikan hon kereta sebagai tanda sokongan.

Sambutan daripada pemandu kenderaan juga amat menggalakkan sehingga keadaan menjadi bagaikan pesta selama kira-kira sejam.

Tinjauan Malaysiakini di pelbagai tempat juga mendaapti sentimen di lapangan lebih condong kepada PN, berbanding BN atau PH.

Gelombang sokongan

Dikelilingi ladang kelapa sawit dan zon perindustrian Kulim Hi-tech, Padang Serai merupakan kerusi campuran dengan kira-kira 40 peratus pengundi terdiri daripada kaum bukan Melayu, yang separuh daripadanya adalah kaum Cina.

Kawasan separa bandar ini terletak di selatan Kedah, yang bersempadan dengan tanah besar Pulau Pinang.

Pada PRU15, tiga kerusi parlimen di Pulau Pinang yang berjiran dengan Padang Serai jatuh kepada PN iaitu Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh.

Paling ketara, PN berjaya menumbangkan bekas menteri Umno, Reezal Merican Naina Merican di kubu kuat BN di Kepala Batas - serta Nurul Izzah Anwar di Permatang Pauh, yang menjadi kubu PKR sejak Anwar memulakan gerakan reformasinya kira-kira 20 tahun lalu.

Ditambah dengan penguasaan PN di negeri-negeri seperti Perlis, Kelantan dan Terengganu - di mana mereka menyapu bersih semua kerusi parlimen - tidak hairanlah gabungan itu berharap kepada "gelombang PN" untuk memastikan kemenangannya di Padang Serai.

Sebaliknya, calon BN, C Sivaraj melihat Padang Serai sebagai peluang untuk gabungan itu bangkit semula, selepas mencatatkan prestasi buruk pada PRU15 di mana hanya menang 30 kerusi parlimen.

Sementara itu, PH dalam kempen mereka pula menyampaikan mesej bahawa mengundi calon gabungan itu bermakna mengundi untuk Anwar.

Calon PH, Mohamad Sofee Razak dilaporkan berkata sekiranya dia menang di Padang Serai, kemenangan itu akan menjadi “hadiah” rakyat buat Anwar.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP, Kulim, S Neelamekan, 60, bimbang peluang Sofee untuk menang akan terjejas berikutan sentimen kaum India. Ini selepas PH gagal meletakkan calon daripada masyarakat India.

“Pengundi Padang Serai perlu menjadi sebahagian daripada solusi dan bukannya masalah. Apa yang penting pada peringkat ini untuk negara adalah menjadi sebahagian daripada solusi.

"Perpecahan di kalangan pengundi India, yang disebabkan oleh sentimen ini, hanya akan menguntungkan lawan politik yang tidak mengutamakan kepentingan negara... undi India akan menjadi penentu dalam pilihan raya ini," kata Neelamekan kepada Malaysiakini.

Selain itu, Sivarraajh dan Sofee juga saling menggesa agar salah seorang berundur memandangkan kedua-dua gabungan - PH dan BN kini bekerjasama di peringkat persekutuan.

Bagaimanapun, kedua-dua calon itu menolak cadangan agar menarik diri daripada PRK itu.

Pada 2018, PH - dengan sokongan Bersatu - memenangi Padang Serai dengan hanya 45.3 peratus undi selepas sebilangan besar pengundi pembangkang menyokong PAS - yang menerima 32.7 peratus undi.

Proses pengundian di Padang Serai ditangguhkan ke 7 Dis selepas calon PH, yang juga penyandang kerusi berkenaan, M Karupaiya, 69, meninggal dunia beberapa hari sebelum PRU15.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan Azman, Sofee, Sivarraajh, Hamzah Abdul Rahman dari Pejuang,Bakri Hashim dari Warisan dan calon bebas. Sreanandha Rao.

Sofee ialah setiausaha PKR Kedah yang juga seorang peguam, manakala Sivarraajh merupakan naib presiden MIC dan juga seorang ahli perniagaan.

Azman, yang keluar daripada PKR pada 2020 untuk menyertai Bersatu, kini merupakan Adun Lunas dan Exco kerajaan negeri.

Lihat Komen
ADS