Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anwar akan jadi jambatan hubungkan Timur dan Barat - Penganalisis

Walaupun Anwar Ibrahim masih belum menjelaskan hala tuju dasar luar Malaysia, perdana menteri yang baru dilantik itu berkemungkinan akan memainkan peranan untuk mengimbangi hubungan diplomatik antara Timur dan Barat memandangkan hubungan mesranya dengan kedua-dua blok, menurut penganalisis perhubungan antarabangsa.

Bagaimanapun, mereka berpendapat bahawa ia bukan berkisar mengenai soal "pro-China" atau "pro-AS" tetapi lebih kepada mengimbangi keperluan negara.

Bercakap kepada Malaysiakini, pensyarah Program Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu, Zaharul Abdullah, berkata beliau percaya dasar luar di bawah kepimpinan Anwar akan terus bebas, berprinsip dan pragmatik.

Walaupun secara umumnya Anwar dianggap "memihak kepada Uncle Sam" dan diketahui mempunyai hubungan baik dengan ahli politik AS, Zaharul berpendapat perdana menteri itu akan terus mengekalkan hubungan seimbang Malaysia dengan AS dan China serta meningkatkan kerjasama keselamatan dengan kedua-dua negara.

"Dalam Perang Dingin yang muncul antara AS dan China, Anwar akan meneruskan (pendirian Malaysia) untuk tidak bersekutu dan menegakkan Zopfan (Zon Aman, Bebas dan Berkecuali)," katanya.

Dalam sidang akhbar sulung pertamanya selepas memegang jawatan itu Khamis lalu, Anwar yang mengulas secara ringkas mengenai hubungan dengan China, berkata dia melihat hubungan dengan Beijing sebagai "penting" sambil menegaskan hubungan dengan AS, Eropah, India dan negara jiran lain adalah sama penting.

China berusaha secara aktif untuk meluaskan pengaruh ekonominya melalui perjanjian perdagangan dua hala dan pelbagai hala, seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Negara itu juga baru-baru ini memohon untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) - kerjasama perdagangan serantau dengan keperluan keahlian yang lebih ketat berbanding RCEP.

Bagaimanapun, kuasa besar Asia itu juga mengerahkan kekuatan tenteranya di Laut China Selatan, di mana China, Malaysia dan negara Asia Tenggara lain menuntut hak kedaulatan di kawasan itu.

Dalam suasana sebegitu, Zaharul menjangkakan Anwar, seorang ahli politik veteran berusia 75 tahun, akan menyuarakan pendirian tegas agar setiap pihak menghentikan ketegangan yang semakin meruncing bagi mengelak sebarang konflik ketenteraan.

“Pada masa yang sama, beliau akan terus menggunakan tiga strategi, iaitu mempertahankan kedaulatan dan hak kedaulatan, melemahkan ancaman China dan mengutamakan kerjasama dan faedah ekonomi dengan China, serta menyokong proses pengurusan konflik Asean lebih daripada mekanisme perundingan dua hala.

"Walaupun kerajaan cenderung untuk tidak menekankan kepada perselisihan, nada kerajaan akan lebih tegas dan kritikal berbanding kerajaan terdahulu," kata penganalisis itu.

Sementara itu, bagi mengimbangi pengaruh China, Zaharul percaya Putrajaya di bawah kepimpinan Anwar akan terus meningkatkan komitmennya terhadap perjanjian seperti CPTPP dan Rangka Kerja Indo-Pasifik (IPF).

“Kita (juga) akan melihat hubungan yang lebih mesra dengan negara-negara seperti Singapura, AS, dan dunia Islam,” tambahnya.

Berkongsi pandangan yang sama dengan Zaharul, felo kanan dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA), Oh Ei Sun juga amat percaya bahawa Anwar akan mempunyai kemahiran untuk kekal berkecuali dalam isu kontroversi berkaitan AS dan China.

“Bagi mana-mana perdana menteri, ia bukan soal pro-China atau pro-AS tetapi ia soal pro-pelaburan dan pro-perdagangan.

“Mana-mana pihak yang akan dapat menyediakan lebih banyak pelaburan dan perdagangan, adalah amat sukar bagi Malaysia untuk menolaknya tetapi lebih dekat dengan kuasa itu,” kata Oh.

Vokal isu hak asasi manusia

Bagaimanapun, keperluan berdiplomasi tidak bermakna Anwar sebagai perdana menteri akan berhenti daripada bersuara lantang dan kritis dalam isu hak asasi manusia.

Anwar pada masa lalu membangkitkan kebimbangan mengenai isu yang berkaitan dengan komuniti Islam Uyghur di Xinjiang dan mengecam layanan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi terhadap Rohingya.

Zaharul berkata perdana menteri ke-10 itu berkemungkinan akan mengekalkan pendiriannya dalam isu hak asasi manusia dan tadbir urus global yang inklusif, tetapi dengan pendekatan yang lebih diplomatik dan berdiplomasi.

“Isu sensitif seperti penganiayaan Beijing terhadap Muslim Uyghur akan dibangkitkan dan disampaikan secara langsung semasa mesyuarat peringkat tinggi antara kedua-dua pemimpin kerajaan.

“Beliau akan lebih lantang, melalui platform serantau dan antarabangsa seperti Asean, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam, dalam menggariskan dan memperjuangkan isu-isu seperti hak asasi manusia dan maruah, pengagihan kekayaan yang saksama antara negara kaya dan miskin, penindasan terhadap golongan miskin dan negara membangun, tadbir urus global yang baik dan inklusif serta menggalakkan umat Islam yang sederhana dan progresif,” katanya.

Anwar akan menjadi peneraju?

Walaupun dasar luar Malaysia secara amnya akan kekal sepanjang tempoh Anwar menjadi perdana menteri, felo kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan, berpendapat ia tidak menghairankan jika pemimpin reformis itu dapat melonjakkan negara ke perhatian antarabangsa.

Berbanding dengan pendahulunya, Azmi berkata perdana menteri baru, yang dianggap sebagai seorang globalis, dijangka akan menjadi peneraju dan bukannya menyerahkan dasar luar kepada menteri luar yang akan dilantik tidak lama lagi.

“Saya rasa Anwar akan sangat aktif, hands-on. Hala tuju dasar luar akan diberikan oleh Anwar.

“Dasar luar hanya biasa saja di bawah Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, tiada ada apa yang mengejutkan.

"Tetapi ia akan menjadi sangat menarik untuk Anwar kerana saya tahu dia sangat dekat dengan dasar luar," kata Azmi sambil menambah Anwar adalah seorang pemimpin dunia yang terkenal dan mempunyai banyak pendedahan antarabangsa.

Begitupun Oh tidak senada dengan Azmi walaupun dia mengakui Anwar akan menjadi pemimpin terkemuka bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, dasar luar bukan merupakan wacana utama politik Malaysia, dan tidak seperti negara lain, felo kanan SIIA itu berkata hal ehwal luar lebih berkemungkinan diserahkan kepada profesional atau menteri luar yang akan datang.

“Sudah tentu dasar luar Anwar akan lebih ketara berbanding Muhyiddin dan Ismail Sabri.

“Setiap kali dia boleh menonjolkan dirinya dan kerajaannya, dia akan mengambil peluang itu.

"Tetapi dasar luar biasanya bukan menjadi keutamaan dan oleh itu, ia bukan sesuatu yang akan direbutkan oleh ahli politik," kata Oh kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS