Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SEMAK FAKTA: Video lama bendera Malaysia, Israel dikibar bersama
Diterbitkan:  Dec 1, 2022 1:04 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Klip video berdurasi 47 saat yang memaparkan Jalur Gemilang dan bendera Israel dikibarkan bersebelahan di atas sebuah bot dengan hadirinya menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ tular di media sosial sejak 29 Nov lalu.

Sekurang-kurangnya satu daripada hantaran yang dilihat Malaysiakini cuba mengaitkan video itu dengan kerajaan persekutuan yang baru ditubuhkan, manakala yang lain hanya mendesak untuk mendapatkan penjelasan mengenai insiden berkenaan.

Hantaran daripada laman yang lazimnya menyiarkan secara eksklusif mengenai politik, mendakwa baru beberapa hari pentadbiran Pakatan Harapan (PH) memerintah, kini terdapat pelbagai provokasi daripada kelompok yang sebelum ini takut untuk timbul.

“Baru beberapa hari sahaja PH memerintah dah pelbagai provokasi kelompok-kelompok yang dahulunya takut untuk timbul kerana ketegasan kerajaan dalam membendung perkara yang mengugat keamanan awam.

“Ni puak PH...DAP...PKR atau BN yang baru join the new club?” soal hantaran itu.

Polis bagaimanapun berkata dakwaan bahawa insiden itu berlaku selepas pembentukan kerajaan baru adalah tidak benar.

“Siasatan awal mendapati kejadian dalam video itu berlaku pada September 2022 ketika sekumpulan penduduk tempatan menyertai lawatan ke luar negara melalui sebuah agensi pelancongan,” kata polis dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut polis, mereka menerima laporan mengenai perkara itu menerusi laporan oleh seorang lelaki yang mendakwa dia menerima klip video berdurasi 47 saat itu dalam kumpulan WhatsApp.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu, sebuah agensi pelancongan menerusi satu hantaran di Facebook, menjelaskan satu lagi video yang turut memaparkan Jalur Gemilang dikibarkan bersama bendera Israel di atas sebuah feri.

Agensi pelancongan itu berkata, video berdurasi kira-kira 34 saat itu dirakamkan pada Disember 2019 semasa lawatan mereka ke Laut Galilea.

“Kami ingin menafikan (perkara ini), video itu bukan diambil selepas PRU15 dan menegaskan bahawa ini adalah video lama yang dirakamkan pada Disember 2019 dan tidak ada kena mengena dengan kerajaan Malaysia mahupun Israel, sama ada kerajaan terdahulu atau kerajaan. semasa.

“Bagi mereka yang pernah melancong ke Palestin dan menaiki bot mengelilingi Laut Galilea, mereka biasanya akan melalui pengalaman yang sama seperti yang kami lalui ketika itu.

“Ia berlaku secara spontan tanpa pengetahuan awal kami. Sebagai rakyat Malaysia yang patriotik, kami segera bangkit apabila Negaraku bermain, tidak kira di mana kami berada,” kata hantaran itu.

Baru-baru ini, beberapa hantaran di media sosial cuba menggambarkan kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempunyai kaitan dengan Israel.

Polis membuka satu kertas siasatan berhubung video sekumpulan individu menyanyikan lagu Negaraku sambil mengibarkan Jalur Gemilang bersama bendera Israel yang tular dalam media sosial.

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama memetik Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood sebagai berkata siasatan dilakukan susulan laporan yang diterima daripada seorang lelaki warga tempatan Selasa lepas setelah melihat video yang berdurasi 47 saat itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada September lepas ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke Tasik Galilee yang terletak dalam kawasan jajahan Israel, dikendalikan sebuah agensi pelancongan tempatan.

“Semasa lawatan, lagu Negaraku dipasang dan dinyanyikan sambil bendera Malaysia dikibarkan. Video ini dipercayai ditularkan semula untuk dikaitkan dengan isu Israel yang sedang panas sekarang,” katanya.

Beliau berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Ku Mashariman turut menasihati orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan serta menyebarkan video berkenaan di mana-mana platform bagi mengelakkan apa-apa spekulasi dan provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS