Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Lantik Zahid langkah tak popular, tapi Anwar 'terpaksa'

Pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri mungkin tidak popular dalam kalangan ramai orang tetapi ia adalah keputusan yang tidak dapat dielakkan, kata penganalisis.

Penganalisis sosiopolitik Prof Awang Azman Awang Pawi berkata pelantikan presiden Umno dan pengerusi BN itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kedudukan yang ada padanya.

Jika tidak dilantik, katanya, ia boleh dianggap sebagai suatu diskriminasi.

"Pelantikan Ahmad Zahid adalah selaras dengan konsep undang-undang iaitu seseorang tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

"Ini adalah konsep dalam perlembagaan dan undang-undang di negara ini," katanya.

Awang Azman Awang Pawi

Pendapat itu turut dikongsi beberapa penganalisis lain yang berkata, sama seperti Ahmad Zahid, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berada dalam situasi memerlukan sokongan.

Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania, James Chin, berkata kedua-dua tokoh terbabit memang bersahabat sejak sekian lama malah sejak 1990-an Ahmad Zahid dianggap sebagai anak didik Anwar.

Kata Chin memang ada ramai rakyat Malaysia - terutamanya dalam kalangan kelas pertengahan bandar - berharap Ahmad Zahid tidak diberi tempat dalam kabinet Anwar berdasarkan statusnya yang sedang berdepan 47 pertuduhan rasuah di mahkamah.

"Tetapi hakikatnya Anwar tidak mempunyai banyak pilihan, baik dari sudut peribadi mahupun politik.

"Ini mungkin mengejutkan banyak pihak tetapi Ahmad Zahid mempunyai hubungan baik dengan Anwar dan merupakan salah satu sekutunya yang paling rapat sejak awal mereka menjadi aktivis politik muda di Universiti Malaya pada 1970-an," tambahnya.

Elak buat pusingan U

Chin berkata PRU ke-15 adalah pertandingan yang sengit yang akhirnya menjadikan BN sebagai king maker.

Seandainya Ahmad Zahid tidak menyokong PH pada masa-masa genting ini, katanya, peluang Anwar untuk mentadbir dan menjadi perdana menteri mungkin terlepas lagi.

"Apabila BN mencapai perjanjian 10 perkara dengan PH dan berikrar memberi sokongan membentuk kerajaan sebagai pertukaran bagi pelantikan timbalan perdana menteri, kita tak dapat fikir siapa lagi selain ketua Umno untuk menyandang jawatan itu,” katanya.

Menurut Chin lagi, hakikatnya Anwar juga perlu menyokong kedudukan Ahmad Zahid untuk mengekalkan Umno dalam kerajaan dan menghalangnya daripada melakukan pusingan U.

Pada masa sama Chin mengaku ada sekurang-kurangnya lima pemimpin kanan Umno secara terbuka menyatakan rasa tidak senang dengan Ahmad Zahid kerana bekerjasama dengan PH.

Namun, katanya, setakat ini mereka dapat 'dihalang' daripada melompat ke PN kerana adanya akta antilompat parti yang boleh menjejaskan kerusi yang mereka menangi baru-baru ini.

James Chin

"Sudah tentu, tiada apa yang dapat menghalang mana-mana pemimpin Umno daripada mencabar Ahmad Zahid untuk jawatan presiden parti apabila pemilihan Umno diadakan tahun depan.

"Tetapi, diberikan jawatan kanan dalam kerajaan, Ahmad Zahid mungkin mempunyai kelebihan untuk mengalahkan pencabarnya,” kata Chin.

Sainstis politik Wong Chin Huat menambah pelantikan lima pemimpin Umno dari kem Ahmad Zahid sebagai menteri pasti akan membantu peluang mereka untuk dipilih semula dalam pemilihan parti.

Kata Wong perhimpunan agung Umno akan datang bakal menyaksikan perdebatan hangat tentang mengapa BN kalah dan ke mana hala tuju Umno peru ditetapkan.

Ia, katanya, akan membuka jalan kepada naratif pemilihan parti.

"Adalah penting bagi kerajaan PH untuk tidak mengambil risiko menjadikan pemilihan Umno sebagai peperangan proksi antara PH dan PN.

"Sebaliknya, PH harus mengadakan perjanjian gabungan dengan BN untuk memastikan penyertaannya dalam kerajaan dan menghantar mesej yang jelas untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang memimpin Umno," kata Wong.

Perbicaraan kena terus

Terdahulu Chin juga berkata Ahmad Zahid secara konsisten berhujah bahawa jika Umno memilih PN untuk membentuk kerajaan, parti itu tidak akan mempunyai peluang untuk memulihkan keadaannya.

Menurut Chin, menyertai kerajaan baru juga akan meletakkan Umno sebagai parti pemerintah yang dominan menjaga hak Melayu.

"Umno adalah satu-satunya parti Melayu secara eksklusif dalam kerajaan PH dan boleh membezakan parti itu daripada parti yang lain dalam kerajaan.

"Jika Umno bersama PN, peluang mereka mungkin menjadi lebih kecil kerana perlu bersaing dengan Bersatu dan PAS untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu yang sama,” katanya.

Chin berkata penting untuk diperhatikan bahawa perbicaraan Ahmad Zahid telah pun dimulakan dan ia perlu diteruskan tanpa mengambil kira pelantikannya dalam kabinet.

"Juga di bawah undang-undang Malaysia, seseorang itu harus dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah," tambahnya.

Wong Chin Huat

Mengenai kedudukan parti komponen BN, Wong berkata memandangkan gabungan itu hanya menyumbang 30 kepada keseluruhan 148 kerusi dimenangi oleh parti-parti dalam kerajaan hari ini, terdapat kekangan portfolio kabinet yang boleh diberikan kepada mereka.

"Dari perspektif Umno, satu kerusi untuk MCA atau MIC bermakna kuranglah satu kerusi untuk mereka, justeru langkah mengetepikan mereka (MCA dan MIC) sama sekali tidak menghairankan.

"MCA dan MIC mungkin mendapat jawatan timbalan menteri kemudian, tetapi kemerosotan mereka tidak dapat dielakkan sekarang kerana Umno hilang penguasaan terhadap pengundi Melayu untuk dua PRU berturut-turut," kata Wong.

Chin juga tidak menjangkakan MIC dan MCA akan memberi sumbangan besar kepada kerajaan baru ini.

Mengikut penelitiannya, kata Chin, ketiadaan wakil MCA dan MIC dalam kabinet Anwar memang hasil saranan Umno.

"Mereka (MCA dan MIC) mungkin tidak mempunyai jawatan menteri penuh tetapi kita boleh lihat salah seorang daripada mereka diberi jawatan timbalan menteri apabila senarai penuh disahkan.

"Saya mengesyaki MIC mempunyai peluang kerana kaum India kurang diwakili dalam kabinet baru," katanya.

Sebelah ‘sana’ lebih teruk

Bagaimanapun, itu mungkin tidak berlaku sama ada kerana kedua-dua parti itu menghadapi tentangan ketara daripada pihak lain.

"Pada asasnya, mereka telah ditolak sama sekali oleh kaum Cina dan India, jadi pengkritik akan bertanya mengapa mereka perlu diberi jawatan?

"Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keputusan terakhir," tambah Chin.

Katanya, amat sukar buat Anwar untuk menambah bilangan timbalan menteri kerana terdapat banyak tekanan untuk tidak berbuat demikian semata-mata untuk memberi ganjaran kepada penyokong kerajaan.

"Ia adalah situasi yang sukar. Kita terpaksa hidup dengan kabinet hibrid ini kerana sebelah sana lebih teruk.

"PN mempunyai perwakilan yang sepenuhnya Melayu dan Islam tidak mencerminkan Malaysia sebenarnya yang berbilang kaum.

"Rakyat Malaysia juga mudah lupa. Menjelang minggu depan pelantikan kabinet tidak akan menjadi isu. Kami berharap kerajaan ini dapat kekal bersama kerana salah satu punca kerajaan PH runtuh adalah pergaduhan dalaman," kata Chin.

Dia berkata, dari segi matlamat bersama rakyat Malaysia, perkara paling penting ialah memulihkan ekonomi.

Lihat Komen
ADS