Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kula: Lihat gambaran lebih besar, sokong Anwar
Diterbitkan:  Dec 4, 2022 3:36 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Selepas pihak tertentu menyatakan kekecewaan kerana M Kula Segaran tidak dilantik dalam kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim, naib pengerusi DAP itu menyeru rakyat untuk "melihat gambaran yang lebih besar".

Mengambil maklum kekecewaan rakyat berhubung perkara itu, Kula menjelaskan ia adalah perkara yang diperlukan oleh negara pada masa ini.

Katanya, ia adalah kabinet yang mendapat sokongan semua parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Ia adalah kabinet yang bertujuan untuk memperbaiki perpecahan di kalangan rakyat kita dan menyatukan kita sekali lagi dengan matlamat yang sama.

“Matlamat bersama ini adalah untuk membina semula negara ini selepas apa yang telah dilalui sejak dua tahun lalu,” katanya.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu turut mengingatkan rakyat bahawa pentadbiran hari ini bukan hanya milik PH, tetapi kerajaan perpaduan.

“Mereka perlu memahami maksudnya.

“Oleh itu, saya menggesa semua orang untuk menyokong Anwar dan kabinetnya dan bersabar kerana membetulkan apa yang rosak memerlukan masa dan sokongan daripada kita semua.

"Kita berada di landasan yang betul sekali lagi," katanya.

Selain itu, Kula turut menggesa rakyat memberikan sokongan penuh kepada rakan seperjuangan partinya V Sivakumar yang dilantik sebagai menteri sumber manusia yang baru.

Kula memegang jawatan itu ketika pentadbiran PH sebelum ini.

“Siva mempunyai pengalaman politik yang luas dan keupayaan untuk memacu kementerian ke hadapan.

“Jika diperlukan, seluruh pasukan kami dan saya sentiasa ada untuk menghulurkan bantuan kepadanya,” katanya.

Pada Jumaat, Anwar mengumum kabinetnya yang terdiri daripada 28 menteri, di 22 kementerian, dan empat portfolio di Jabatan Perdana Menteri.

PH mempunyai 15 menteri dalam senarai kabinet yang diumumkan, dengan lapan daripada PKR, empat daripada DAP, dua daripada Amanah, dan seorang daripada Upko.

Manakala enam menteri daripada BN, kesemuanya Umno, manakala GPS lima menteri. GRS mempunyai seorang menteri dalam kabinet.

Seorang lagi menteri - iaitu Menteri Hal Ehwal Agama Mohd Na’im Mokhtar - tidak bergabung dengan mana-mana parti politik. Dia kini merupakan Ketua Hakim Jabatan Kehakiman Syariah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS