Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parti Hijau gesa Nik Nazmi campur tangan isu kuari Bukit Lagong
Diterbitkan:  Dec 5, 2022 2:55 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Parti Hijau menggesa Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang baru dilantik Nik Nazmi Nik Ahmad untuk campur tangan dalam isu 27 kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong di Gombak, Selangor.

Setiausaha penaja parti itu Abdul Razak Ismail berkata walaupun isu itu belum selesai dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ia adalah isu alam sekitar yang mendesak yang memerlukan perhatian menteri.

"Ia bukan sahaja melibatkan isu alam sekitar dan perubahan iklim, sebaliknya ia disebabkan lokasi Hutan Simpan Kekal ini terletak kurang dari 15-20 km dari pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan penggondolan teruk hutan simpan ini untuk aktiviti kuari sedia ada dapat dilihat dengan jelas dari Lebuhraya Plus hala ke utara dan Lebuhraya Guthrie sebelum Plaza Tol Lagong ke Kuala Lumpur dan dari Gamuda Gardens di Lebuhraya Latar.

"Pemandangan tarahan kawasah hutan simpan begitu jelas begini memberi gambaran kurang baik dalam usaha kerajaan pusat untuk mengurangkan impak bencana banjir dan tanah runtuh sejak kebelakangan ini ekoran dari perubahan iklim," katanya dalam kenyataan media.

Abdul Razak, yang juga sebahagian daripada kumpulan aktivis Otai Reformis 1998, pada 22 Okt lalu membuat laporan kepada SPRM berhubung kemungkinan salah laku dalam meluluskan 27 plot kuari di rizab itu.

Sambil menggesa tindakan SPRM, dia berkata dia menerima jawapan melalui e-mel mengatakan siasatan sedang dijalankan tetapi tiada maklumat terkini sejak itu.

"Sekiranya aktiviti kuari ini diteruskan ia akan memberi kesan negatif ke atas eko sistem dan habitat di dalam hutan simpan yang berkeluasan 887 hektar ( bersamaan 2,190 ekar).

"Kami juga dimaklumkan hanya sebuah syarikat sahaja yang telah melakukan laporan EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) sebaliknya baki 26 lagi disyaki masih belum melakukan laporan tersebut," katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa 27 kuari akan dibuka di kawasan itu, dengan hampir satu pertiga mempunyai kaitan politik atau istana.

Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar Hee Loy Sian berkata lesen penggalian itu dikeluarkan mengikut proses sewajarnya dan tidak akan menjejaskan masyarakat Orang Asli di sana.

Bagaimanapun, bekas ketua pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berkata aktiviti itu akan menjejaskan rancangan FRIM untuk memohon status Tapak Warisan Dunia Unesco bagi Hutan Simpan Bukit Lagong dan kawasan sekitarnya.

Lihat Komen
ADS