Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah: Kalau betul ada duit judi, kerusi BN pun PN sapu habis

PN semalam mengakui mereka ada memberikan wang kepada calon yang dipilih untuk bertanding mewakili gabungan terbabit dalam PRU lalu, namun ia bukanlah sumbangan syarikat judi.

Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, berkata tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mendakwa mereka menerima wang daripada syarikat judi menunjukkan ketakutan kerajaan.

"Mereka takut dengan peristiwa yang telah menempuhi (dialami) dalam pilihan raya baru-baru ini, maka Anwar keluarkan (kenyataan) seolah-olah mengatakan bahawa dalam kempen kita (PN) jutaan ringgit dikeluarkan PN dan duit datang daripada tauke judi.

"[...] ya betul kita bagi duit. Saya nak maklumkan, betul, saya ini setiausaha agung PN, ini banyak calon yang ada di hadapan saya.

"Kita bagi RM50,000 saja, seorang calon RM50,000.

"Kalaulah saya ada duit daripada tauke judi ni, saya ingat bukan hanya menang 73 (kerusi) hak (yang) BN 30 (kerusi) hak (yang) ada itu pun kita sapu habis," katanya ketika berucap dalam ceramah sempena PRK Tioman di bandar Rompin, malam tadi.

Semalam, Anwar dalam sidang media di Putrajaya membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

"Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

"Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi," katanya.

Hamzah turut menjelaskan hal berkaitan jumlah cabutan khas judi ketika era pemerintahan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kuasa untuk menentukan dan meluluskan jumlah cabutan adalah di bawah bidang kuasa menteri kewangan dan tidak perlu melalui kabinet.

"Dia (Anwar) dok kata dalam kerajaan itu (ada) 22 kali cabutan judi, siapa menteri kewangan? Tengku Zafrul Tengku Aziz... Kau tanyalah yang berhormat Tengku Zafrul.

"Kabinet mesti tahu? Kepala hotak engkau! Hari ini (semalam) ada mesyuarat kabinet? Tak ada pun tetapi dia (Anwar) umumkan 22 (cabutan khas judi) turun jadi lapan, maknanya apa? Maknanya hanya menteri kewangan berkuasa," katanya.

Anwar dalam sidang media semalam turut menegur pentadbiran PN yang diketuai Bersatu dan PAS kerana menaikkan cabutan khas judi dari lapan kepada 22 kali setahun.

Langkah itu dibuat pada akhir 2020.

Kata Anwar, selaku menteri kewangan, dia telah memutuskan bilangan cabutan khas judi akan kembali dikurangkan kepada lapan kali setahun bermula tahun depan.

Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut di Perak turut berkata kerajaan diterajui Anwar ketika ini hanya menyebarkan propaganda tertentu untuk mengalihkan tumpuan kepada isu asas yang lebih penting.

"Apa saja dibangkitkan mereka adalah propaganda, nak lari daripada isu asal.

"Isunya apa? Isunya dunia kata engkau adalah pemimpin ho...... (tidak dihabiskan), kemudian dunia kata kau mengambil timbalan perdana menteri yang turun naik turun naik (mahkamah).

"Ini menunjukkan kerajaan ini kerajaan yang kalut, kerajaan luar tabii," katanya.

Lihat Komen
ADS