Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ubah kerajaan: Itu cuma kenyataan peribadi, kata Shahidan

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim berkata kenyataannya mengenai kewujudan usaha menggantikan kerajaan sekarang adalah pandangan peribadi saja.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan yang meninggalkan Umno selepas tidak dicalonkan parti itu dalam PRU lalu menjelaskan, usaha tersebut juga merupakan ikhtiarnya sendiri.

Shahidan yang juga bekas menteri besar Perlis turut mengakui dia adalah orang paling gembira jika gerakan menjatuhkan kerajaan sekarang benar-benar ada dan akan menyokongnya.

"Rancangan (PN untuk jadi kerajaan) itu hanyalah kenyataan peribadi saya, yang saya berharap dan berdoa supaya perkara itu berlaku. Itu saja.

"Apabila saya kata ada usaha itu semua, ia usaha sayalah. Cumanya, jika benar ada usaha itu (daripada orang lain), sudah pasti saya sokong usaha jadikan PN kerajaan," katanya kepada Malaysiakini.

Shahidan berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut berhubung dakwaannya ada usaha untuk membawa PN kembali menjadi kerajaan seperti dinyatakan dalam sidang media selepas kempen PN di Padang Serai, kelmarin.

Tiada jawatan dalam PN

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Shahidan memberi gambaran wujud usaha tertentu sedang berjalan untuk memastikan PN menjadi kerajaan sekali lagi.

"Kita bersyukur, petanda yang baik sekarang ini ialah sokongan kepada PN luar biasa. Saya ucap tahniah kepada barisan kabinet Anwar Ibrahim. Kita redalah apa yang berlaku.

"Jadi kami sedang berusaha supaya kabinet ini tidak tahan lama dan insya-Allah kami yang akan kembali memerintah berdasarkan mandat rakyat," katanya.

Untuk rekod PH sudah pernah dikhianati oleh sekumpulan ahli parlimen dan parti komponennya sendiri berpaling tadah dengan meninggalkan gabungan tersebut.

Mereka kemudian berpakat pula dengan Umno-BN dan PAS untuk membentuk kerajaan baru tanpa melalui pilihan raya umum dalam insiden dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Ia menamatkan pentadbiran kerajaan PH hanya selepas 22 bulan mentadbir negara.

Gambar fail

Bagaimanapun kerajaan pengganti yang diterajui Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, hanya bertahan kia-kira 17 bulan sebelum diganti oleh Ismail Sabri Yaakob.

Tempoh pentadbiran naib presiden Umno itu sebagai perdana menteri pula berlanjutan selama kira-kira 14 bulan.

PRU ke-15 yang diadakan 19 Nov lalu juga menyaksikan BN menggugurkan beberapa ahli parlimen mereka, termasuk Shahidan. Dia kemudian bertanding sebagai calon PN di Arau serta berjaya mempertahankan kerusi tersebut.

Malam tadi Muhyiddin juga mendakwa tidak tahu-menahu mengenai gerakan menukar kerajaan seperti didakwa Shahidan.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata dia sebenarnya tidak boleh bercakap bagi pihak PN kerana tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti gabungan terbabit.

Gambar fail

Malah, tegas Shahidan dia juga tidak ada sebarang maklumat mengenai usaha menjadikan PN kerajaan.

"Saya tidak dimaklumkan sebarang usaha atau menyusun apa-apa rancangan (jadikan PN kerajaan) kerana saya tidak ada jawatan dalam PAS atau pun Bersatu sendiri.

"Bahkan saya juga tak boleh bercakap bagi pihak PAS atau Bersatu, saya cuma ahli parlimen PN yang bertanding atas tiket PAS.

"Jadi, apa-apa kenyataan saya tiada kaitan dengan parti," tambahnya.

Lihat Komen
ADS