mk-logo
Berita
Isu hukuman hamil luar nikah: Menteri agama akan jumpa sultan T'ganu - Nancy

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata telah membentangkan isu berhubung pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022 dalam mesyuarat khas kabinet yang diadakan semalam.

Antara pindaan enakmen ini ialah tambahan Seksyen 29A yang mengharamkan tindakan hamil atau melahirkan anak luar nikah.

Bercakap kepada Malaysiakini, Nancy berkata perkara itu dibangkitkan semasa mesyuarat kabinet itu untuk mendapatkan bimbingan daripada menteri persekutuan kerana ia melibatkan remaja Islam.

"Hal ehwal agama Islam di negeri Terengganu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Maka dengan itu menteri agama (Mohd Na’im Mokhtar) diminta untuk pergi mengadap Sultan (Mizan Zainal Abidin) selaku ketua agama Islam negeri,” katanya.

Menteri Agama di JPM Mohd Na’im Mokhtar.

Difahamkan ahli parlimen Santubong itu akan membangkitkan semula isu berkenaan dalam mesyuarat kabinet esok dan satu kenyataan akan dikeluarkan oleh kementeriannya selewat-lewatnya pada Khamis.

Sementara itu, Malaysiakini telah menghubungi Na’im untuk mendapatkan maklum balas.

Pada Khamis lalu, DUN Terengganu meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001, yang memasukkan empat seksyen baru.

Empat seksyen itu adalah Seksyen 3A (perbomohan dan sihir), 29A (hamil atau melahirkan anak luar nikah), 33A (wanita menyerupai lelaki) dan 36A (persediaan melakukan liwat).

Menurut Seksyen 29A, wanita beragama Islam yang didapati bersalah hamil atau melahirkan anak luar nikah boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Penguatkuasaan enakmen itu akan bermula selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu.

Badan pemikir kesihatan, Pusat Galen mengkritik pindaan berkaitan hukuman hamil luar nikah itu, berkata ia mungkin menjejaskan sistem kesihatan negara kerana ia melemahkan perlindungan dan hak wanita serta kanak-kanak perempuan terhadap penjagaan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif dasar kesihatan dan sosial pusat itu Azrul Mohd Khalib, dalam satu kenyataan, menimbulkan kebimbangan bahawa enakmen itu mungkin memaksa wanita dan gadis untuk melakukan pengguguran yang tidak selamat kerana iklim yang tidak menyenangkan.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata data dan penyelidikan global menunjukkan bahawa langkah menghukum dan undang-undang sekatan tidak berkesan dalam mengurangkan kehamilan sedemikian.

Dalam satu kenyataan, presiden MMA Muruga Raj Rajathurai berkata tindakan menghukum seperti itu hanya akan membawa kepada akibat negatif, termasuk kehamilan tidak selamat dan melahirkan anak, yang boleh mengakibatkan kemudaratan kekal kepada kesihatan seseorang.

Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) pula kebimbangan langkah menghukum seperti itu akan menghindarkan kalangan yang hamil luar nikah untuk mendapatkan pertolongan, sebaliknya mungkin cuba untuk menggugurkan kandungan dengan cara yang tidak selamat.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS