Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai MB jawab Muhyiddin: Anwar dibayar RM1 sebagai penasihat ekonomi
Diterbitkan:  Dec 7, 2022 1:15 PM
Dikemaskini: 5:29 AM

Pejabat Menteri Besar Selangor menyangkal dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dibayar RM15 juta untuk berkhidmat sebagai penasihat ekonomi Selangor.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli, berkata kerajaan negeri Selangor, termasuk Menteri Besar ketika itu Khalid Ibrahim, telah berulang kali menyangkal dakwaan ini di dewan undangan negeri (DUN).

Tambahnya, ketika berkhidmat sebagai penasihat, Anwar hanya dibayar simbolik RM1 setahun.

Juwairiya Zulkifli, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor

"Gaji tersebut tidak dibayar kepada beliau sejak tarikh lantikan. Beliau tidak menerima sebarang bayaran elaun atau keistimewaan selain gaji RM 1 tersebut.

"Perkara ini telah jelas tertera dalam Hansard DUN menerusi jawapan kepada soalan oleh ahli dewan negeri.

"Dengan mengitar semula rekaan yang tidak berasas ini menunjukkan keterdesakkan dan kemuflisan modal politik Perikatan Nasional (PN) dalam usaha kempen mereka setelah gagal membentuk kerajaan persekutuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin dikatakan membuat tuduhan itu semasa berkempen untuk calon PN sebelum pilihan raya Padang Serai hari ini.

Muhyiddin Yassin

Beberapa klip video Muhyiddin berhubung dakwaan itu keluar di media sosial. Malaysiakini sedang mendapatkan komen daripada pejabat Muhyiddin.

Pada 2011, Adun Sungai Burung ketika itu Dr Mohd Khir Toyo mengemukakan soalan melalui badan perundangan untuk mendapatkan butiran mengenai kos mengekalkan kedudukan Anwar, sambil menyatakan bahawa gaji Anwar ialah "RM1 sebulan".

Susulan itu, kerajaan Selangor menjawab antara Jan dan Jun 2011, pejabat penasihat ekonomi itu telah membelanjakan RM258,162.

DUN juga diberitahu bahawa tiada satu pun perjalanan Anwar ke luar negara antara Nov 2009 semasa dia dilantik sehingga Julai 2011 melibatkan dana negeri.

Apabila Azmin Ali mengambil alih jawatan menteri besar pada 2014, Anwar terus berkhidmat sebagai penasihat ekonomi.

Anwar Ibrahim

Dalam sidang DUN yang sama, Adun Seri Serdang Mohamad Satim Diman pernah bertanya apakah kesan yang dibawa oleh Anwar melalui peranannya.

Kerajaan negeri menjawab bahawa pandangan Anwar dimasukkan dalam reformasi pengurusan tanah berhubung hak pendudukan tanah buat sementara waktu.

“Melalui kaedah baharu ini, rakyat hanya perlu membayar yuran pemprosesan RM1,000 untuk terus menetap di atas tanah dan menerima hak milik, sedangkan pada pentadbiran sebelum ini, mereka akan membayar berpuluh ribu ringgit,” kata kerajaan negeri.

Lihat Komen
ADS