Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Rosmah cuma jumpa Zahid, bukan masuk mesyuarat Umno’
Diterbitkan:  Dec 9, 2022 12:18 PM
Dikemaskini: 4:56 AM

Kehadiran Rosmah Mansor ke bangunan Umno ketika Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu semalam menimbulkan banyak persoalan dan spekulasi.

Bagaimanapun, menurut bekas pegawai Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang kini rapat dengan Rosmah, isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu hanya bertemu Presiden Umno Zahid Hamidi.

“Ramai yang buat cerita kononnya Datin Seri Rosmah masuk dalam mesyuarat MKT tersebut. 

“Tapi sebenarnya Datin Seri Rosmah tiba di Bangunan Umno sebelum mesyuarat bermula hanya untuk bertemu dengan presiden Umno. 

Rahimi Osman

“Beliau tidak ada apa-apa urusan dalam Mesyuarat MKT,” kata Rahimi Osman.

Tulisan Rahimi di Facebook itu turut dikongsi semula di Facebook Rosmah Mansor hari ini, dengan komen ringkas:

“Inilah cerita sebenarnya... “

Sementara itu, Rahimi berkata Rosmah hanya bertemu dengan Zahid kira-kira sepuluh minit saja dan keluar melalui parkir bawah tanah, menyebabkan dia tidak kelihatan keluar oleh orang awam dan wartawan.

“Ya, dia berada di PWTC hanya untuk beberapa minit. Bukan berjam-jam seperti yang disangka orang. 

“Sedangkan apabila berita sudah mula tersebar malam tadi dan macam-macam spekulasi dibuat, (ketika itu) Datin Seri Rosmah telah berada di rumah,” katanya.

Dia justeru menasihat orang ramai tidak memandai-mandai membuat cerita kerana ia boleh menjadi fitnah.

Malaysiakini difahamkan pertemuan itu tidak berkaitan dengan kes mahkamah Najib dan tetapi hanya urusan peribadi.

Rahimi adalah rakan sekolah Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat oleh Anwar. Dia ialah orang yang memperkenalkan Saiful kepada Anwar.

Rahimi mencetuskan kontroversi selepas mendakwa dipaksa membuat dua laporan bersumpah pada tahun 2008 yang mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes liwat tersebut.

Anwar mendapat pengampunan penuh diraja bagi sabitan dan hukuman terhadapnya, walaupun telah menjalani hukuman penjara beberapa tahun.

Lihat Komen
ADS