Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Langkah Bersatu Sabah akan uji undang-undang antilompat parti

Langkah ahli Bersatu Sabah meninggalkan parti akan menguji undang-undang antilompat parti.

Bersatu Sabah mempunyai lima ahli parlimen, dengan empat daripadanya bertanding di bawah tiket gabungan Gabung Rakyat Sabah (GRS), manakala seorang lagi - Ronald Kiandee - bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

Empat yang bertanding di bawah tiket GRS dipercayai sebahagian daripada yang meninggalkan parti, namun tidak jelas sama ada Ronald yang merupakan naib presiden Bersatu turut terlibat.

Di bawah undang-undang antilompat parti, seorang ahli parlimen kehilangan kerusi jika mereka keluar dari "parti" mereka. Pengecualian ialah jika mereka dipecat daripada parti.

Justeru, bagi peguam New Sin Yew, empat ahli parlimen Bersatu Sabah yang bertanding di bawah tiket GRS, melanggar undang-undang antilompat parti jika mereka meletakkan jawatan dalam parti.

"Mereka dipilih (dalam PRU ke-15) sebagai ahli Bersatu. Jika mereka meletakkan jawatan sebagai ahli, mereka akan kehilangan kerusi," katanya kepada Malaysiakini.

Hujah New ialah walaupun gabungan dianggap sebagai parti politik - kebanyakan ahli parti bukan ahli gabungan berdaftar.

Ini sama seperti ahli Bersatu yang bertanding di bawah logo PAS - seperti yang dilakukan di Kelantan - tidak dianggap ahli PAS.

Bagaimanapun, pengerusi Bersih Thomas Fann berhujah sebaliknya.

"Mereka bertanding di bawah logo GRS iaitu gabungan/parti berdaftar. Mereka tidak bertanding di bawah Bersatu.

“Pengenalan itu adalah apa yang mereka maklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa mereka mengemukakan pencalonan.

"Jika mereka menubuhkan parti baru dan meninggalkan GRS, mereka perlu mengosongkan kerusi mereka," katanya.

Dalam mana-mana senario, protokol sedia ada untuk mengosongkan kerusi ialah parlimen dimaklumkan mengenai perkara itu, dan Parlimen seterusnya akan memaklumkan SPR.

Ini bermakna speaker Dewan Rakyat akan memainkan peranan dalam memutuskan sama ada akan memaklumkan SPR atau tidak bahawa berlaku pelanggaran undang-undang antilompat parti.

Ketika ini, Azhar Azizan Harun - yang dilantik di bawah pentadbiran PN pada 2020 - merupakan speaker Dewan Rakyat sehingga 18 Dis - dan dengan itu mempunyai kuasa untuk memaklumkan SPR jika Bersatu memfailkan aduan dengannya.

Speaker baru hanya akan dilantik pada 19 Dis ketika parlimen penggal baru bersidang.

Apa pun keputusannya, perkara ini kemungkinan besar dibawa ke mahkamah.

Keputusan ahli Bersatu Sabah yang sehaluan dengan ketua menteri Hajiji Noor untuk keluar parti - adalah disebabkan keputusan mereka menyokong kerajaan pusat yang diterajui Anwar Ibrahim.

Bersatu di peringkat persekutuan adalah pembangkang sebagai sebahagian daripada PN.

Peletakan jawatan beramai-ramai tidak akan memberi kesan kepada kerajaan negeri Sabah, kerana negeri itu belum mempunyai undang-undang antilompat parti setakat ini.

Lihat Komen
ADS