Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU musim tengkujuh: 'Alhamdulillah Allah memihak kepada saya'

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata dia menjadi mangsa tohmahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana mendesak pilihan raya diadakan ketika musim tengkujuh.

Ahmad Zahid berkata, banyak pihak menjangkakan bahawa banjir besar akan berlaku ketika PRU lalu, namun ketentuan Tuhan adalah sebaliknya.

"Ada pihak menjangkakan pilihan raya diadakan ketika musim banjir tetapi banjir tidak berlaku, tapi yang kena tohmahan adalah saya.

"Tapi alhamdulillah, Allah SWT memihak kepada saya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JBPB) di Putrajaya petang tadi.

Sebelum ini pemimpin politik termasuk daripada Pakatan Harapan (PH), PAS dan Perikatan Nasional (PN) membantah PRU15 diadakan hujung tahun kerana bimbang banjir besar akan berlaku.

PRU15 diadakan pada 19 Nov selepas perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob memohon pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan taburan hujan tinggi dijangka bermula Sabtu ini yang mungkin akan menyebabkan banjir.

Kerajaan katanya memberi jaminan akan bertindak adil pada semua negeri dalam menyalurkan bantuan banjir meskipun ia tidak sehaluan dengan Putrajaya.

Oleh itu katanya, kerajaan sudah mengarahkan agensi Persekutuan yang terbabit untuk menyantuni semua kerajaan negeri, termasuk ditadbir pembangkang.

"Saya telah mengarahkan bahawa agensi pusat perlu melayani sama raya kerajaan negeri yang belum bersama kerajaan persekutuan.

"Keadilan dan kesaksamaan perlu dilakukan tanpa memikirkan negeri itu diperintah oleh pihak mana, ini adalah bagi menyelesaikan masalah rakyat, bukan menyelesaikan masalah poltik," katanya.

Tambah Ahmad Zahid ia juga adalah selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam usaha membela nasib rakyat.

Lihat Komen
ADS