PT Rafi Kamajaya Abadi (RKA) yang berpangkalan di Indonesia, yang dimiliki 93.75 peratus oleh firma kelapa sawit Malaysia TDM Bhd, gagal dalam rayuannya terhadap Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia berhubung kebakaran 2019 di tanahnya di Kalimantan Barat.
Mahkamah Tinggi Pontianak memerintahkan RKA membayar pampasan sebanyak 188.98 bilion rupiah (RM53.5 juta) kepada Akaun Negara Indonesia akibat kemusnahan alam sekitar.
Menurut laporan The Edge, TDM yang berpangkalan di Terengganu mendedahkan bahawa RKA turut diarahkan supaya memulihkan tanah seluas 2,560 hektar itu.
Selain itu, mahkamah juga memerintahkan supaya sistem ekologi yang terjejas akibat kemusnahan alam sekitar dipulihkan - dengan kos mencecah 731.04 bilion rupiah (RM206.97 juta).
Pertuduhan oleh kerajaan Indonesia itu diputuskan berdasarkan prinsip "liabiliti ketat" - dengan RKA bertanggungjawab atas kerugian akibat kebakaran, berdasarkan prinsip ini.
Mahkamah juga menolak tuntutan balas RKA terhadap kementerian Indonesia.
Pada 27 Dis 2021, RKA dilaporkan telah disaman oleh kementerian berkenaan atas dakwaan melanggar undang-undang berkaitan kebakaran yang berlaku di ladangnya pada 2019.
Tuntutan oleh kementerian Indonesia, pada masa itu, mencecah satu trilion rupiah (RM284 juta).
Pada 2019, TDM menafikan tuduhan Jakarta bahawa salah satu konsesinya adalah di sebalik pembakaran terbuka terbesar di Indonesia.
Dalam pemfailan berasingan, TDM berkata RKA tidak berjaya dalam satu lagi rayuan di Mahkamah Tinggi Pontianak terhadap pendakwa raya Sintang berhubung kebakaran itu.
Keputusan Mahkamah Daerah Sintang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi, yang mendapati RKA bersalah dan mengenakan denda 2.5 bilion rupiah (RM711,000) ke atasnya.
Menurut TDM, RKA sedang membuat rayuan lanjut terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kedua-dua kes, di Mahkamah Agung Indonesia di Jakarta.
Saham TDM ditutup setengah sen atau 2.63 peratus lebih rendah pada 18.5 sen semalam.
