DAP megecam dasar baru Taliban yang menyekat kaum wanita Afghanistan daripada memasuki universiti.
Pengerusinya Lim Guan Eng berharap seluruh rakyat Malaysia bangkit bersama-sama wanita seluruh dunia bagi mendesak supaya keputusan itu ditarik balik.
Tanpa menyebut nama secara khusus, katanya, seruan itu turut dibuat terhadap pihak yang “mengagumi Taliban”.
“Hentikan diskriminasi jantina!” kata Lim ringkas di media sosialnya.

Februari lalu, duta khas perdana menteri ke Timur ketika itu, Abdul Hadi Awang mencetuskan kontroversi kerana bertemu wakil kerajaan Taliban serta menyatakan sokongan dan komitmen Malaysia untuk membantu negara itu.
Presiden PAS itu juga mempertahankan tuduhan bahawa Taliban menghalang pendidikan wanita.
"Adakah halangan itu termasuk hak untuk mempelajari fardu ain? Pelajaran yang wajib untuk mengenal Tuhan, beribadat kepada-Nya, berakhlak mulia, makan dan minum secara halal serta berpakaian secara Islam dengan segala adabnya.
"Mungkin kepada kalangan musuh Islam, perkara-perkara tersebut bukanlah sebahagian daripada ilmu," jelasnya lagi.

Kementerian Pendidikan Afghanistan dilapor mengeluarkan arahan itu kepada semua universiti awam dan swasta untuk menggantung kemasukan mahasiswa wanita serta-merta, susulan keputusan kabinet.
Keputusan itu dikecam keras Amerika Syarikat, Britain dan Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Keputusan pentadbiran Taliban, yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa, berlaku ketika Majlis Keselamatan PBB bermesyuarat berkaitan negara itu di New York, AS.
Ibu kepada seorang mahasiswa berkata anak perempuannya berendam air mata susulan keputusan Taliban kerana tidak dapat menyambung pendidikan dalam bidang perubatan di Kabul.
Dia enggan namanya disebut atas alasan keselamatan.
“Rasa pilu ini bukan saya seorang…dan ibu-ibu lain juga, tak dapat digambarkan.
“Kita semua rasa kesakitan ini, mereka bimbang terhadap masa depan anak-anak,” katanya seperti dilaporkan Reuters.
