Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita PKR desak Taliban kembalikan akses pendidikan buat semua
Diterbitkan:  Dec 23, 2022 11:37 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Wanita PKR berpendapat, tindakan melarang wanita melanjutkan pengajian ke universiti yang dilaksanakan kerajaan Taliban Afghanistan suatu dasar mundur dan mendiskriminasi.

Ketuanya Fadhlina Sidek berkata langkah berkenaan akan memberi kesan jangka panjang yang buruk dan akhirnya hanya akan merosakkan imej Islam.

"Justeru Wanita Keadilan mendesak pihak pemerintahan Taliban mempertimbangkan gesaan untuk menarik balik sekatan tersebut.

"Afghanistan perlu mengembalikan semula akses wanita negara itu untuk melanjutkan pengajian ke universiti," katanya hari ini.

Menurut Fadlina, sekatan yang dikenakan pihak Taliban itu sebenarnya menghalang wanita negara terbabit mendapat akses pendidikan tinggi.

Kesan daripada dasar tersebut, katanya, kerajaan Afghanistan hanya akan melebarkan jurang daya saing di antara gender dari sudut peluang pekerjaan berkualiti, status ekonomi dan sosial.

Kementerian Pendidikan Afghanistan beberapa hari lalu mengeluarkan arahan kepada semua universiti awam dan swasta di negara itu agar menggantung kemasukan mahasiswa wanita serta-merta.

Langkah itu, lapor agensi berita antarabangsa dibuat selepas diputuskan kabinet Afghanistan.

Ia kemudian mendapat kecam pelbagai negara termasuk Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Fadhlina menambah langkah mengekang pembabitan wanita dalam institusi pengajian tinggi akhirnya akan menyebabkan kadar partisipasi mereka di sektor tenaga kerja akan lebih terhad.

"Ini juga akan menjurus kepada ruang dan peluang dominasi yang berpihak hanya kepada satu gender dan tidak mewakili suara segenap masyarakat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS