Paling Popular
Terkini

WAWANCARA l Hampir sebulan menggalas jawatan barunya sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad melihat betapa luasnya portfolio yang berada di bawah kementeriannya dan betapa banyak perkara yang perlu dipelajarinya. 

“Ia merupakan satu tugas di mana setiap hari adalah berbeza. Saya benar-benar rasa seperti saya kembali ke universiti dan menelaah segala pengetahuan, belajar dan membaca (benda baru). Tapi saya tak merungut.

“Tugas sebagai menteri kabinet bukanlah sesuatu yang anda boleh jangkakan atau  bersiap sedia dengan mudah terlebih dahulu. Anda boleh ada minat (pilihan kementerian), tapi jika anda dapat, ia merupakan satu kelebihan,” kata Nik Nazmi kepada Malaysiakini apabila ditanya sama ada dia memilih untuk menggalas portfolio kementerian itu jika pilihan diberikan kepadanya. 

Dia berkata satu langkah yang diambilnya ialah bercakap dengan bekas menteri Takiyuddin Hassan, yang merupakan menteri tenaga dan sumber asli dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, dan Yeo Bee Yin, yang berkhidmat sebagai menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim ketika Pakatan Harapan mentadbir pada 2018.

“Ia sangat membantu untuk memahami satu kementerian itu, terutamanya kerana terdapat portfolio yang digabungkan. Ia adalah kementerian yang sangat luas. Ia lebih baik sekiranya kita mendapatkan beberapa idea atau panduan daripada mereka. Ironinya, bapa saya (Nik Ahmad Nik Hassan) yang berusia 92 tahun, adalah KSU (setiausaha agung) pertama Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos pada tahun 1978!

“Tetapi sekarang keadaan telah banyak berubah - lihat sahaja bagaimana TNB telah berkembang maju. Ini adalah kementerian yang sangat baru. Terdapat banyak hubung kait antarabangsa. Kita juga perlu berinteraksi dengan orang ramai, contohnya dalam isu seperti tarif tenaga dan air.

“Selain itu, NGO alam sekitar telah banyak, dari tahun ke tahun. Mereka bersemangat dan berpengetahuan dan mereka masih muda. Saya telah bertemu dengan ramai dalam kalangan mereka sejak memulakan tugas,” katanya.

Ubah mentaliti 

Nik Nazmi telah mengarang empat buah buku. Ia merupakan: ‘Moving Forward: Malays for the 21st Century’ (2009); ‘Coming of Age: A Decade of Essays 2001–2011’ (2011); ‘May 9: Notes From the Frontline’ (2018); dan ‘Malaysian Son: A progressive's political journey in the heart of Southeast Asia’ (2022).

Salah satu pertikaian yang selalu disebut adalah mengenai kebimbangan terhadap alam sekitar berbanding tuntutan ekonomi. Nik Nazmi percaya bahawa perubahan minda adalah kritikal pada ketika ini.

“Saya rasa kita perlu berdepan dengan hujah, di mana ia bukan satu pilihan kerana anda boleh melakukan perkara yang baik untuk alam sekitar dan juga menguntungkan dari segi ekonomi.

“Lihat ladang kelapa sawit… Pertikaian sebelum ialah ladang kelapa sawit akan melibatkan kemusnahan paya bakau, yang sebenarnya merupakan pertahanan semula jadi terhadap banjir.

“Maksud saya industri sawit telah memberi sumbangan yang besar kepada negara. Saya rasa kami menghargai bahawa dalam banyak cara beberapa pasukan kami telah benar-benar menambah baik dari segi kemampanan dan semua itu.

“Tetapi kita perlu ada pemikiran yang lebih luas jika kita lakukan perkara yang betul. Paya bakau adalah salah satu sinki karbon terbaik yang boleh anda miliki (yang menyerap lebih banyak karbon daripada yang dikeluarkan).

“Ia (paya bakau) lebih baik daripada hutan dan kita mempunyai kelebihan semula jadi. Saya rasa kita benar-benar perlu melihat semula dasar kita kerana ia mungkin berbaloi untuk memelihara atau menanam semula bakau kita lebih daripada menanam kelapa sawit sebenarnya,” katanya.

Katanya, ia memerlukan dasar holistik yang sewajarnya.

“Salah satu perkara yang paling penting ialah Akta Perubahan Iklim kerana kemudian kita boleh melihat harga karbon. Bursa telah memulakan pasaran karbon tetapi itu hanyalah satu permulaan. 

“Salah satu perkara yang bahkan kerajaan terdahulu komited ialah Akta Perubahan Iklim. Dan ya, minggu ini, saya memang memanggil kakitangan untuk mendapatkan taklimat mengenai penyediaan draf akta tersebut.

“Jadi, saya minta ia disegerakan kerana saya rasa ia sangat mendesak. Maksud saya, hakikat bahawa ia adalah satu keperluan, dan juga sebahagian daripada pematuhan kita kepada pelbagai konvensyen, sama ada kita suka atau tidak, tuntutan kepada ekonomi antarabangsa, dan sebagainya.

“Saya fikir kita perlu lakukannya lebih awal, bukannya pada kemudian hari. Malah, hari pertama Speaker Dewan Rakyat yang baru Johari Abdul dilantik, saya menulis kepadanya untuk menyatakan bahawa kita mahu mengadakan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” kata Nik Nazmi.

Dia menambah tujuan jawatankuasa ini adalah untuk membantu kerajaan dalam merangka dasar yang jelas berkaitan perubahan iklim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS