Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MA63: Sabah, Sarawak boleh tentukan projek pembangunan bawah RM50j

Putrajaya hari ini bersetuju untuk menyerahkan kepada Sabah dan Sarawak untuk menentukan ketetapan sepenuhnya sebarang projek bernilai bawah daripada RM50 juta.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata walaupun ketika ini di kedua-dua negeri terbabit mempunyai Jabatan Kerja Raya sendiri, namun kata putus terlalu banyak dibuat oleh kerajaan pusat.

Pada masa sama kata Anwar, Sabah dan Sarawak diberikan peruntukan besar namun banyak projek tidak dapat dilaksanakan kerana kerenah pentadbiran yang memerlukan ia dirujuk ke Putrajaya.

"Justeru kerajaan memutuskan - dan Kementerian Kewangan bersetuju - bahawa mana-mana projek yang bernilai di bawah RM50 juta diserahkan sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak untuk dilaksanakan dengan mematuhi peraturan kewangan," katanya.

Anwar berkata demikian kepada media selepas menghadiri mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

Ahli parlimen Tambun itu menegaskan ia adalah sebahagian daripada usaha Putrajaya untuk melaksanakan beberapa isu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tertangguh sejak sekian lama.

Katanya pada akhir tahun lalu dia mengumumkan keinginan kerajaan pusat menyegerakan penyelesaian tersebut dan menugaskan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof untuk melakukannya.

Menurut Anwar dia gembira kerana pemimpin terbabit menyegerakan pertemuan dengan semua pihak yang berkenaan sehingga keputusan bersama yang dianggapnya kritikal dicapai sekali gus membolehkan hubungan lebih akrab terjalin dengan Sabah dan Sarawak.

"Kita kena ingat akan MA63, jadi kena ada satu tekad politik untuk (mewujudkan) satu semangat Malaysia dengan konsep persekutuan," katanya.

Pengerusi PH itu juga memberitahu dia akan mengadakan perjumpaan dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg, serta Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor sebelum akhir bulan ini.

Kata Anwar, kerajaan pusat menghormati kebijaksanaan pemimpin di kedua-dua negeri terbabit dan yakin mereka mampu melaksanakan sebarang projek yang tertangguh.

Dia juga memetik peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan mengenai peruntukan khas kepada Sabah dan Sarawak.

"Kini satu tahap telah dihidupkan semula dan kita (Putrajaya) akan cuba muktamadkan secepat mungkin dalam pertemuan dengan Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah," katanya.

Lihat Komen
ADS