Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib heret kerajaan ke PBB atas dakwaan penahanan sewenang-wenang

Bekas perdana menteri Najib Razak membawa isu pemenjaraannya di Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas dakwaan penahanan arbitrari (sewenang-wenangnya).

Peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu taklimat media petang ini bahawa petisyen berkenaan difailkan secara digital di Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia PBB Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD) petang ini.

Pada 23 Ogos tahun lepas, mahkamah persekutuan Putrajaya menolak rayuan Najib untuk membatalkan hukuman penjara 12 tahun dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan kehakiman ditetapkan untuk dibicarakan di hadapan korum Mahkamah Persekutuan yang baru di Putrajaya pada 19 Jan.

Ketika sidang media di firma guaman Shafee & Partners di Bukit Tunku di Kuala Lumpur petang ini, Shafee berkata mereka memfailkan petisyen agar UNWGAD meminta Malaysia membebaskan atau membicarakan semula Najib dalam kes SRC.

Peguam itu berkata Najib memohon panel PBB yang terdiri daripada lima pakar keadilan antarabangsa untuk memutuskan bahawa mahkamah tertinggi Malaysia menolak rayuannya sebagai "tidak adil, cacat dan melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan".

Shafee mendakwa Mahkamah Persekutuan tidak memberi masa yang cukup kepada peguam Najib untuk membuat persediaan bagi rayuan dengan membenarkan penangguhan pendengaran rayuan.

“Pada dasarnya, Najib telah dihantar ke penjara tanpa peluang membela diri di Mahkamah Persekutuan.

"Beberapa hari terakhir rayuan itu, pada bulan Ogos, merupakan "keadilan secara tergesa-gesa" apabila peguamnya tidak diberikan masa yang jelas diperlukan untuk membaca berpuluh-puluh ribu muka surat kertas rayuan atau untuk menyelesaikan perkara itu dengan 94 alasan rayuan yang difailkan oleh peguamnya sebelum ini.

“UNWGAD yang akan mendengar rayuan itu terdiri daripada lima hakim hak asasi manusia yang terkemuka. Mereka tidak akan dipanggil untuk memutuskan sama ada Najib bersalah tetapi untuk menentukan sama ada perbicaraannya adil dan jika tidak, boleh meminta kerajaan (Malaysia) membebaskannya atau memberikannya perbicaraan semula.

“Walaupun keputusan ini tidak mengikat secara langsung, ia sangat berpengaruh terutamanya kerana Malaysia mempunyai pakar undang-undang terkemuka yang kini menjadi ahli kumpulan kerja ini,” kata Shafee.

Untuk rekod Malaysia adalah anggota PBB.

Shafee menegaskan penyokong kuat UNWG termasuklah Perdana Menteri Malaysia sekarang, Anwar Ibrahim yang didakwanya telah memberitahu Cambridge University Press bahawa "Saya merasakan harapan yang diperbaharui bahawa roda keadilan masih berputar", dan pendapat badan PBB itu adalah "pencapaian penting dalam perjalanan saya menuju kebebasan".

Ketika ditanya oleh media sama ada pasukan peguam Najib akan menggunakan petisyen kepada PBB untuk meminta mahkamah tertinggi di Putrajaya menangguhkan pendengaran semakan SRC pada 19 Jan, Shafee berkata mereka bersedia untuk meneruskan semakan pada hari itu. .

Peguam itu berkata Najib bergantung kepada semakan dalam badan kehakiman dan petisyen PBB melalui saluran diplomatik sebagai dua cara berasingan agar bekas perdana menteri itu mendapatkan keadilan dalam kes SRC.

Shafee menambah salinan petisyen PBB telah diserahkan kepada Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

Lihat Komen
ADS