Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hutan simpan seluas 5,994 padang bola mungkin berubah wajah

Sebahagian besar keadaan Hutan Simpan Kledang Saiong yang terletak di antara kawasan Kuala Kangsar dan Ipoh dijangka berubah apabila rancangan ladang kayu hutan yang dijangka bermula pada tahun ini.

Dengan keluasan 4,280 hektar - menyamai kira-kira 5,994 padang bola sepak - projek berkenaan dirangka untuk menjadikan kawasan terbabit sebagai tapak pembangunan dan operasi ladang sehingga 50 tahun.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 28 Dis tahun lalu mengumumkan ia sedang menyemak laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk projek itu, yang dibuka untuk tatapan umum sehingga 26 Jan.

Orang ramai diberikan tempoh sehingga 10 Feb ini untuk memberikan maklum balas mengenainya.

Menurut laporan EIA yang dilihat oleh Malaysiakini, projek itu bertujuan untuk menanam hasil hutan dalam bentuk kayu - dengan eucalyptus, khaya dan kelampayan menjadi pilihan utama.

Projek itu dipecahkan kepada beberapa petak untuk dibangunkan dan diuruskan oleh empat pengendali. Syarikat Sri Kruing Sdn Bhd mendapat kawasan terluas iaitu 1,329 hektar.

Ia diikuti syarikat Rimba Kembara Sdn Bhd (1,280 hektar), Rimbun Cengal Sdn Bhd (1,071 hektar) dan Seri Tualang Sdn Bhd (600h hektar).

EIA menyatakan bahawa kawasan itu kini diklasifikasikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar peringkat 2 yang membolehkan pembalakan mampan dan pelancongan berimpak rendah, namun bukan untuk pembangunan fizikal dan aktiviti pertanian.

Jika projek tersebut diluluskan, 38.9 peratus daripada saiz Hutan Simpan Kledang Saiong itu perlu dibersihkan sepenuhnya.

Terletak sebahagian besarnya di sebelah barat Hutan Simpan Kledang Saiong dan lebih hampir dengan Kuala Kangsar, hutan itu dikenali sebagai habitat perayauan untuk beberapa hidupan liar yang dilindungi serta terancam.

EIA mendapati terdapat dua spesies terancam kritikal di bawah Senarai Merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN) yang menamakan hutan simpan itu sebagai rumah, iaitu burung enggang tebang mentua (helmeted hornbill) dan kura-kura coklat Asia.

Ia juga merupakan habitat bagi 11 spesies terancam lain termasuk tapir Asia, siamang, burung daun bersayap biru, dan penyu kotak Malaysia.

Ia juga menjadi habitat kepada 10 spesies rentan seperti beruang matahari Malaya, harimau keruh, kucing harimau, dan burung enggang.

Sementara itu, terletak 200 meter di barat laut petak tapak cadangan Seri Tualang Sdn Bhd ialah Kampung Orang Asli Bukit Chermin, dengan populasi lebih 200 orang.

Pelbagai kebimbangan dibangkitkan oleh penduduk kampung kerana hutan simpan tersebut menyediakan sumber pendapatan, bekalan air, makanan dan digunakan untuk kegunaan harian mereka.

EIA mencatatkan kehilangan aktiviti pengumpulan hasil hutan bukan kayu oleh masyarakat Orang Asli, yang menjual produk termasuk madu kelulut, herba seperti tongkat ali, rotan dan sayur-sayuran dari hutan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS