Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menafikan berlaku pergolakan politik di Sabah ketika ini dan mengesahkan tiada perubahan kerajaan Sabah, seperti yang didakwa sejak semalam.
“Saya telah hubungi semua, Hajiji Noor (ketua menteri), Shafie Apdal (presiden Warisan) dan Bung Moktar Radin (pengerusi BN Sabah).
“Malah perbincangan dilakukan dengan Ahmad Zahid Hamidi (presiden Umno) dan Anthony Loke ( setiausaha agung DAP).
“Nampaknya keadaan tenang sementara ini,” katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.
Menurutnya, dia tidak menjangkakan sebarang perkembangan perubahan kerajaan negeri, setakat ini.
Sehubungan itu, Anwar menasihatkan pemimpin negeri supaya berbincang dengan baik sekiranya ada isu tertentu.
"Saya cuma dimaklumkan beberapa isu dan saya minta ketua menteri berbincang dengan baik dengan rakan-rakan di Sabah," katanya..
Semalam, media melaporkan, cubaan menggulingkan Hajiji gagal dan mengaitkan 'Langkah Kinabalu' itu dengan gerakan daripada beberapa wakil rakyat Warisan dan Umno.
Ia semakin panas dengan tindakan tujuh Adun Umno yang mengadakan pertemuan dengan Hajiji di kediamannya.
Sebelum itu, semua Adun Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) turut menyatakan sokongan kepada Hajiji.
Terdahulu, Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Ewon Benedick menyuarakan harapan agar Adun dan pemimpin PH Sabah disertakan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.
Keadaan di Sabah mengundang perhatian susulan tindakan Shafie memanggil sidang media semalam, di mana dia didakwa akan mengumumkan memiliki sokongan yang cukup untuk menjatuhkan pentadbiran Hajiji.
Sidang media itu, yang dijadual pada 4.30 petang, dibatalkan kira-kira dua jam kemudian.
Sementara itu, tujuh Adun PH semalam berkata mereka tidak membuat akuan berkanun (SD) untuk menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak selepas 2020.
Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun pula berkata pihaknya sedia membuktikan Hajiji memiliki sokongan majoriti di DUN.
DUN Sabah memiliki 79 Adun dengan enam daripadanya merupakan Adun lantikan.
Kerajaan negeri kini memiliki sokongan 60 Adun, merangkumi 29 orang dari GRS, BN (17), PH (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu), Parti Harapan Rakyat Sabah (satu), PN (satu) dan Bebas (satu).
Warisan pula memegang 19 DUN.
