Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin malam ini mengumumkan bahawa pihaknya menarik balik sokongan terhadap Hajiji Mohd Noor sebagai ketua menteri Sabah, sekali gus menarik diri daripada kerajaan negeri.
Bung Moktar berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama Adun dari parti mereka malam ini.
Bung mendakwa Hajiji melanggar persefahaman politik dengan BN Sabah yang diadakan ketika memberikan sokongan terhadapnya sebagai ketua menteri selepas pilihan raya negeri Sabah.
“Ini jelas, di mana Hajiji telah melanggar persefahaman tersebut di mana hari ini dia mengeluarkan surat penamatan jawatan Salleh Keruak selaku pengerusi Khazanah Nasional.
“Hajiji juga mengugut kita dengan reshuffle (rombakan) kabinet tanpa berbincang dan tanpa berunding.
“Dengan itu, keputusan kita sebulat suara, Umno menarik diri dan menarik sokongan kepada Hajiji selaku ketua menteri Sabah,” katanya, berdasarkan rakaman video sidang media itu.
Menjawab soalan pemberita, Bung berkata keputusan itu dibuat atas nama parti meskipun terdapat lima Adun yang tidak menyokong langkah berkenaan.
“Ini keputusan parti, keputusan parti muktamad. Kita akan ambil apa juga langkah dan tindakan tegas termasuk tindakan disiplin kepada mana-mana Adun umno yang khianat tidak menyokong keputusan parti,” tambahnya
Umno/BN memegang sejumlah 17 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sabah yang dianggotai 79 Adun. Sekurang-kurangnya 40 kerusi diperlukan untuk mencapai majoriti mudah dalam dewan.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipengerusikan Hajiji memegang 29 kerusi dalam dewan. Kerajaannya juga mendapat sokongan dalam bentuk keyakinan dan perjanjian bekalan daripada 14 Adun daripada pelbagai parti, termasuk tujuh daripada Pakatan Harapan.
Warisan, parti pembangkang tunggal di negeri itu sebelum Umno keluar, mempunyai 19 Adun.
Sementara itu, ditanya sama ada BN akan bekerjasama dengan Warisan seterusnya, Bung berkata BN boleh bekerja dengan mana-mana pihak yang ikhlas.
Bung juga mendakwa telah bercakap dengan peguam, yang berpandangan Hajiji tidak lagi mempunyai locus standi atau kelayakan untuk menjadi ketua menteri selepas keluar daripada Bersatu bulan lepas untuk menjadi ahli langsung GRS.
“GRS ialah gabungan besar antara PBS, Star, Bersatu, Usno dan SAPP. Ini bermakna Hajiji telah menipu Pendaftar Pertubuhan dengan mendakwa sebagai ahli GRS.
“Disebabkan penipuan ini, kami meminta Tuan Yang Terutama Sabah mengkaji semula dan mengambil pertimbangan serius berhubung pelantikan ketua menteri Sabah,” katanya.
