Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes seleweng RM92.5b: Silakan siasat, tapi jangan jadikan helah politik - Ahmad Faizal
Diterbitkan:  Jan 7, 2023 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat secara menyeluruh berhubung kes membabitkan penahanan seorang ketua bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan.

Ini berlaku selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 42 tahun berhubung dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19 sewaktu pentadbiran terdahulu.

Menurut laporan The Star, Ahmad Faizal berkata dia berasa pelik mengapa kes itu dikaitkan dengan parti dan presidennya.

“Ya, siasat kes itu, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi helah politik untuk memburukkan pentadbiran terdahulu.

“Terdapat ramai ahli parti yang rapat dengan presiden termasuk saya sendiri.

“Saya percaya presiden parti tidak melakukan kesalahan, namun biarlah SPRM menyiasat kes itu,” katanya.

Pakej rangsangan itu digunakan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kerajaan ketika Covid-19 sedang melanda negara.

Difahamkan lelaki yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan kepimpinan Bersatu.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata dia juga sentiasa mendapat peluang untuk menerima projek namun ia tidak berlaku.

"Saya tidak pernah mendapat sebarang projek,” tambahnya.

SPRM pada Jumaat menahan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta kerana didakwa menjadi orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi antara 2020 dan 2022.

Sumber SPRM berkata lelaki itu yang dipercayai menerima rasuah untuk menjadi orang tengah dalam projek terbabit ditahan selepas keterangannya direkodkan di ibu pejabat SPRM.

Azam turut mengesahkan penahanan itu sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan lelaki itu direman dari 6 Jan hingga 10 Jan bagi membolehkan SPRM melengkapkan kertas siasatan.

SPRM sebelum ini dilaporkan memulakan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19 sewaktu pentadbiran terdahulu.

SPRM dalam kenyataan sebelum ini berkata, Kementerian Kewangan sudah memberikan perincian dana berkenaan di bawah pakej rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.

SPRM berkata, sebanyak RM530 bilion diperuntukkan dan daripada jumlah itu RM92.5 bilion adalah membabitkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan dana kerajaan.

SPRM juga dilaporkan akan memanggil bekas perdana menteri dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan dua bekas menteri untuk membantu siasatan itu.

Lihat Komen
ADS