Jabatan Kesihatan Negeri Pahang melepaskan 142,000 telur nyamuk Aedes berWolbachia di dua daerah Kuantan sebagai usaha mencegah dan mengawal jangkitan kes demam denggi di lokaliti terlibat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata inisiatif itu bertujuan menggantikan populasi nyamuk Aedes sedia ada dengan nyamuk Aedes berWolbachia.
Dia berkata pelepasan itu melibatkan 58,800 telur di Taman Impianku dan 83,200 lagi di Projek Perumahan Rakyat Disewa Pinggiran.
“Setakat semalam (6 Jan) kadar penetasan nyamuk Aedes berWolbachia di kedua-dua lokaliti itu adalah sangat baik iaitu melebihi 90 peratus," katanya.
Mohammad Fakhruddin menambah tempoh pelaksanaan projek pelepasan Aedes berWolbachia ialah selama dua tahun lima bulan yang dijangka selesai pada Mac 2025.
Dia berkata demikian pada sidang media projek pelepasan nyamuk Aedes BerWolbachia Pahang di Taman Impianku, di Kuantan hari ini.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Pahang Dr Nor Azimi Yunus.
Mohammad Fakhruddin berkata projek itu dimulakan sejak 2019 membabitkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor dan Pahang yang bermula pada 6 Okt lepas.
Katanya pelaksanaan projek itu terbukti berjaya menurunkan kes demam denggi antara 40 hingga 80 peratus berdasarkan kajian rintis di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bakteria Wolbachia boleh menghalang pembiakan virus denggi kerana ia terdapat secara semula jadi pada pelbagai serangga namun tidak terdapat dalam nyamuk Aedes Aegypti.
Oleh itu, bakteria Wolbachia dimasukkan ke nyamuk Aedes Aegypti bagi menghalang pembiakan virus denggi di dalam nyamuk tersebut.
- Bernama
