Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan tubuh RCI siasat isu buku Tommy Thomas
Diterbitkan:  Jan 11, 2023 8:25 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Kabinet bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selepas mengkaji cadangan yang dibuat oleh pasukan petugas khas yang menyiasat buku memoir bekas peguam negara Tommy Thomas.

Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Azalina Othman Said bagaimanapun berkata RCI itu akan mempunyai skop yang lebih luas daripada saranan pasukan petugas khas itu.

Siasatan terhadap buku Thomas 'My Story: Justice in the Wilderness' dimulakan oleh pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berhubung dakwaan salah laku bekas peguam negara itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Azalina berkata kerajaan memandang serius dakwaan salah laku profesional oleh mereka yang memegang jawatan tinggi.

"Hal ini kerana ketelusan dan akauntabiliti adalah asas kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan (administration of justice ) dan institusi kerajaan.

"Oleh itu, cadangan Terma Tauliah (Terms of Commission) RCI ini akan mempunyai skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada syor-syor yang telah dikemukakan oleh pasukan petugas khas.

"RCI ini bertujuan untuk mencari kebenaran serta mengemukakan syor kepada kerajaan untuk reformasi institusi perundangan negara dan bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak tertentu," katanya.

Tambahnya, butiran lanjut mengenai RCI termasuk ahli akan didedahkan kemudian.

Pasukan petugas khas itu ditubuhkan pada Disember 2021 dan diketuai oleh bekas peguam besar Sarawak Fong Joo Chung

Memoir Thomas meliputi tugasnya sebagai peguam negara dari 2018 hingga 2020. Antara lain, dia membincangkan pelantikan hakim, dakwaan campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman, dan tuntutan pendakwaan terpilih.

Pasukan petugas telah mengesyorkan supaya Thomas disiasat kerana menghasut dan melanggar undang-undang kerahsiaan kerajaan.

Pasukan petugas itu juga mencadangkan bahawa Thomas sendiri campur tangan dalam pelantikan kehakiman.

Ia juga membuat syor untuk reformasi institusi seperti menjadikan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bebas daripada pengaruh perdana menteri - satu cadangan yang juga telah dibuat oleh Majlis Raja-raja November lalu.

Ismail Sabri, pada permulaan pilihan raya umum ke-15, telah meminta BN menggunakan laporan itu sebagai peluru politik.

Sementara itu, Thomas berusaha untuk membatalkan laporan itu, dengan alasan bahawa pasukan petugas itu adalah "badan haram".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS