Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantuan banjir dari persekutuan disalur pada JPP, kata MB

Kerajaan negeri tidak tahu bagaimana bantuan banjir berjumlah RM50 juta dari kerajaan persekutuan digunakan memandangkan ia tidak disalurkan kepada mereka, menurut Menteri Besar Ahmad Yakob.

Ahmad berkata bantuan itu disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan iaitu agensi di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).

"Kita berpegang pada janji perdana menteri kata nak beri RM50 juta kepada Kelantan dan Terengganu dan sekarang disalurkan kepada JPP negeri Kelantan.

"Jadi kita tak tahu macam mana bantuan itu akan diagih kepada rakyat Kelantan," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan banjir Perikatan Nasional (PN) di Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini.

Pada 21 Dis lalu, kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan segera bantuan berjumlah RM150 juta, masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu, susulan keadaan banjir yang serius untuk kebajikan rakyat.

"Kerajaan hari ini bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta masing-masing di Kelantan dan Terengganu sebagai bantuan awal untuk meringankan beban akibat bencana Monsun Timur Laut.

"Jumlah keseluruhan bantuan untuk kedua-dua negeri adalah sebanyak RM100 juta," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke negeri itu.

Isu bantuan itu sebelum ini dibangkitkan Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusoff yang menyatakan ia tidak melalui kerajaan negeri.

"Dapat makluman RM50 juta (bantuan banjir)yang diumumkan untuk Kelantan akan disalurkan melalui JPP bukan kepada kerajaan negeri.

"Kembali macam zaman dulu semula," katanya dalam hantaran di Facebook, minggu lalu.

Lihat Komen
ADS